
Laporan/foto: Norhafiezah Abd Aziz/Abang Taufik Abang Razali(Penampang)
PENAMPANG, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Projek pembinaan Tamu Donggongon dan Kapayan Square berjalan lancar dan dijangka dapat digunakan masyarakat dalam tempoh terdekat.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata perkembangan positif tersebut dicapai hasil kerjasama semua pihak termasuk sokongan kerajaan negeri.
“Sementara itu, aspek perhubungan luar bandar turut memperlihatkan kemajuan dengan siapnya Jambatan Babagon Timbangon yang kini sedia digunakan sepenuhnya.
“Manakala, pembinaan Jalan Terian-Buayan pula menunjukkan momentum kemajuan yang memberangsangkan,” katanya semasa Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di Buhavan Square, kelmarin.
Menurut Ewon, usaha menangani isu banjir di daerah itu juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila kerja pendalaman dan pelebaran Parit Donggongon siap sepenuhnya.
“Kerajaan meluluskan fasa seterusnya projek mitigasi banjir di Penampang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi memastikan penyelesaian jangka panjang terhadap masalah berkenaan.
Selain itu, menyentuh aspek ekonomi, Ewon menggalakkan usahawan tempatan meneroka peluang pelaburan di kawasan perindustrian luar Penampang seperti Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu, Sabah Oil and Gas Industrial Park, Kudat dan Kota Belud.
Katanya, langkah itu penting bagi mengatasi kekangan keluasan tanah industri di Penampang selain membantu perniagaan tempatan berkembang ke tahap lebih tinggi.
Hadir sama, Datuk Ceasar Mandela Malakun dan Datuk Donald Peter Mojuntin.
-RJ-





