
Laporan/foto: Asmadi Ahmad (Hulu Selangor )
KUALA KUBU BHARU, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Kira-kira 1,200 peserta memeriahkan Program Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 Selangor 2026 dan Hari Tanpa Kenderaan yang berlangsung di Dataran Warisan Kuala Kubu Bharu, semalam.
Program anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) itu berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha menyemarakkan bahang penganjuran SUKMA ke-22 Selangor 2026 di samping membudayakan gaya hidup sihat.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Dato’ Mohd Yazid Sairi, berkata MPHS merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kelima menjadi lokasi siri jelajah berkenaan selepas Petaling, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Menurut beliau, program itu dianjurkan di semua daerah di Selangor sebagai usaha Kerajaan Negeri mendekati masyarakat di peringkat akar umbi, sekali gus menyemarakkan semangat SUKMA 2026 serta memperkenalkan pelbagai inisiatif kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan melebihi jangkaan hasil kerjasama erat semua pihak termasuk Sekretariat SUKMA, PBT serta agensi yang terlibat,” katanya ketika ditemui selepas program.

Suasana meriah di Dataran Warisan Kuala Kubu Bharu apabila orang ramai mengambil bahagian dalam Program Jelajah Larian Obor SUKMA Ke-22 Selangor 2026 dan Hari Tanpa Kenderaan.
Beliau berkata Hulu Selangor turut diberi penghormatan menjadi tuan rumah acara bola sepak wanita sempena SUKMA Ke-22 Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan.
Menurutnya, penganjuran temasya sukan terbesar negara itu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat menerusi kehadiran atlet, pegawai, penyokong dan pelawat dari seluruh negara.
Program tersebut turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi, Yang Dipertua MPHS Julaihah Jamaludin, Pegawai Daerah Hulu Selangor Yuhanas Auree Kamaruddin, ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat setempat.
Sementara itu, Julaihah berkata Stadium MPHS telah dipilih sebagai tempat rasmi bagi acara bola sepak wanita sepanjang temasya SUKMA ke-22 Selangor 2026.
Beliau berharap masyarakat Hulu Selangor dapat bersama-sama memeriahkan temasya berkenaan dengan memberikan sokongan padu kepada para atlet, sekali gus menyemarakkan semangat kesukanan serta mengeratkan perpaduan komuniti.
SUKMA ke-22 Selangor 2026 dijadualkan berlangsung pada Ogos depan dengan Selangor sebagai tuan rumah, menghimpunkan atlet terbaik dari seluruh negara dalam pelbagai acara sukan.
-RI





