
Laporan/Foto: Loseyeffer Molly/Jackson Abell (Bau)
BAU, 22 Jun (MalaysiaAktif) – Sambutan Piobuo Rami Gawea 2026 di Kampung Skiat Baru terus menjadi platform penting memelihara adat dan warisan masyarakat Bidayuh.
Program tersebut juga bertujuan menyemarakkan penghargaan terhadap budaya yang diwarisi turun-temurun.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Datuk Henry Harry Jinep berkata piobuo rami gawea membawa maksud malam penutupan gawai.
Acara kemuncak ini menandakan berakhirnya sambutan Gawai Dayak di peringkat kampung.
“Tradisi ini menjadi lambang kesyukuran selepas musim menuai serta medium untuk memastikan adat, budaya dan amalan masyarakat Bidayuh terus dipelihara oleh generasi masa depan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Henry turut memuji komitmen penduduk Kampung Skiat Baru yang terus mengekalkan tradisi serta berganding bahu memajukan kawasan berkenaan.
Pembangunan yang dinikmati hari ini katanya adalah hasil kerjasama masyarakat yang sentiasa menyokong pelaksanaan pelbagai usaha bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.
“Sebagai masyarakat Bidayuh, kita harus berbangga dengan identiti, adat dan budaya yang kita warisi,” katanya.
Menurut Henry, langkah itu sekali gus mampu mengeratkan hubungan silaturahim serta mengekalkan perpaduan sebagai asas kekuatan komuniti.
Beliau memberitahu kewujudan Bangunan Bidayuh Cultural Centre (BCC) membuktikan komitmen berterusan dalam memelihara dan memartabatkan warisan budaya tersebut.
Tambah beliau sertaan frasa penuh pusat kebudayaan itu penting agar ia terus kekal relevan dan dihargai oleh generasi akan datang.
Pada majlis sama, Henry turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM150,000 kepada Kampung Skiat Baru bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan kampung.
Sumbangan tersebut diberikan katanya bagi tujuan meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan penduduk setempat.
Sambutan berkenaan membuktikan bahawa adat dan budaya merupakan aset penting yang perlu terus dipelihara sebagai identiti masyarakat Bidayuh.
-RJ-




