
Laporan/foto: Sharil Alias/Ihsan Media JMNS (Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Kerajaan terus memperkukuh usaha memelihara warisan negara menerusi Projek Pulihara dan Naik Taraf Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti (Fasa 2) yang telah siap dilaksanakan dengan kos RM3 juta di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato’ Shaharuddin Abu Sohot ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kerajaan Persekutuan tersebut pada Isnin lalu menekankan kepentingan projek tersebut dalam menyokong sektor pelancongan tempatan.

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti ini kini berwajah baharu dan diterangi cahaya yang indah pada waktu malam selepas pelaksanaan Projek Pulihara dan Naik Taraf (Fasa 2).
“Projek pemuliharaan istana ikonik ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kementerian dalam memastikan produk pelancongan budaya dan warisan negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.
“Kita berharap dengan siapnya fasa naik taraf ini, ia bukan sahaja menyelamatkan khazanah sejarah kita, malah dapat memberikan nilai tambah dan pengalaman yang lebih bermakna kepada pengunjung, khususnya sebagai persediaan negara menyambut Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026),” katanya.
Projek penyelenggaraan dan naik taraf tersebut telah berjaya dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan melalui Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Sembilan.
Pelaksanaan projek ini dijangka mampu merancakkan lagi kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke Negeri Sembilan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat martabat seni, budaya, dan warisan kebangsaan.
-RI





