
Laporan/foto: Maherah Marina Mahusin/Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 93,262 remaja di Terengganu dijangka menerima vaksin COVID-19 akhir September ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba semasa lawatan kerjanya di negeri itu.
“Kumpulan remaja yang berumur antara 12 hingga 17 tahun akan menerima vaksin berkenaan setelah 80 peratus populasi dewasa melengkapkan vaksinasi.

Adham (dua dari kiri) menyuntik vaksin kepada remaja orang kurang upaya (OKU) yang menghadapi kesukaran ke PPV awam.
“Sehingga kini seramai 66.73 peratus populasi dewasa telah menerima lengkap suntikan vaksin manakala 90 peratus telah menerima dos pertama,” katanya sempena lawatan kerjanya di Kampung Losong dan Taman Desa Paloh, di sini semalam.
Pada masa yang sama beliau menyeru kepada seluruh pemimpin masyarakat agar mengenal pasti individu yang tidak membuat pendaftaran vaksin melalui aplikasi Mysejahtera kerana usaha itu penting dalam meningkatkan kadar vaksinasi seterusnya mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok pada akhir bulan ini.
Dalam pada itu, beliau turut mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman.
-ii-