
Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 20 Sep (Malaysiaaktif)– Rumah penduduk di Perumahan Taman Bukit Indah, Bukit Tebuk, di sini meriah dan ceria apabila dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi menghangatkan sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.

Jalur Gemilang menghiasi rumah penduduk di Perumahan Taman Bukit Indah, Bukit Tebuk sempena sambutan Hari Malaysia.
Pengerusi Komuniti Perumahan Taman Bukit Indah Bukit Tebuk, Shahrizan Rokit, 42, berkata tradisi menghiasi Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan telah bermula seawal bulan Ogos hingga bulan September adalah acara tahunan penduduk di taman ini.
“Lebih menarik ada dalam kalangan penduduk yang berlumba-lumba menghiasi kediaman mereka dengan menggantung lambang negara itu dengan pelbagai bentuk sekali gus melahirkan rasa cintakan tanah air.
“Menghias Bendera di kediaman penduduk bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dan bulan kemerdekaan sudah menjadi tradisi di sini,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut, di sini baru-baru ini.
Rahimah Hassan, 57, penduduk di taman tersebut berkata sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak akan lengkap jika tiada hiasan Jalur Gemilang.
“Setiap tahun apabila tiba Bulan kebangsaan, saya akan membeli Jalur Gemilang dan hiaskan halaman hadapan rumah dengan Jalur Gemilang tersebut,” katanya.

Rahimah Hassan, 57 berkata Sambutan Hari Malaysia tidak lengkap sekiranya tiada hiasan Jalur Gemilang di kediamannya.
Tambah beliau, dengan penularan virus coronavirus kini, aktiviti menghias Jalur Gemilang dapat dilakukan pada waktu lapang sekaligus menyahut saranan kementerian kesihatan agar sentiasa duduk di rumah.
Sementara itu, Zarida Osman, 46, berkata tahun ini sambutan secara sederhana dilakukan dan penduduk menghias Bendera di rumah masing-masing agak ringkas berbanding tahun sebelum COVID-19 berlaku.

Zarida (tengah) berkata sambutan secara sederhana dilakukan pada tahun ini memandangkan kes jangkitan COVID-19 masih tinggi di daerah ini.
“Sebelum penularan COVID-19, pelbagai aktiviti dibuat dan disambut secara beramai-ramai dengan suasasana yang sangat meriah tetapi dengan penularan COVID-19 dan kes jangkitan yang tinggi sambutan Hari Malaysia sedikit berbeza.
“Harapan saya, wabak ini terus berlalu dan penduduk di taman ni kembali bersemangat melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama apabila tiba Bulan Kebangsaan,” katanya.
-ii-