
Laporan/foto: RA Othman (Marang)
MARANG, 11 Okt (Malaysiaaktif) – Semalam (Isnin) merupakan hari rasmi penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Daerah Marang.
Dalam majlis tersebut, Pegawai Daerah Marang Lizan Che Mat, selaku Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) turut mengambil peluang menyampaikan sijil penghargaan sebagai tanda terima kasih kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat sepanjang PPV dibuka sehingga tarikh akhir perkhidmatan imunisasi dijalankan.
“Kerjasama semua pihak yang telah bergabung dalam CITF amat memberansangkan dan telah mencipta satu kejayaan dalam memastikan kadar kesedaran masyarakat untuk mengambil vaksin telah melebihi peratusan yang ditetapkan,” katanya ketika mengadakan tinjauan di PPV Dewan Majlis Daerah Marang, di sini semalam.

Dr. Tan (kiri) menyampaikan surat dan tanda penghargaan terima kasih kepada petugas-petugas kesihatan di PPV.
Pegawai Kesihatan Daerah Marang Dr. Tan Sin Yew, berkata sehingga kini sebanyak 92 peratus penduduk Marang telah lengkap mendapatkan dua dos vaksinasi masing-masing dan menjadikan antara daerah yang aktif dalam pendaftaran dan pemberian vaksinasi di negeri ini.
“Seramai 272 petugas kesihatan termasuk petugas-petugas Sukarelawan MyVac iaitu 134 orang di PPV Bukit Payong manakala selebihnya 138 orang di PPV Dewan Majlis Daerah Marang.
“Kesemua mereka telah menjalankan tugas dengan baik dan berjaya menzahirkan hasrat kerajaan negeri juga Pengarah Kesihatan Negeri supaya masayarakat di Terengganu boleh mencapai imuniti kelompok serta mengurangkan jangkitan harian COVID-19 di negeri ini.
“Terengganu kini mula menunjukkan penurunan jangkitan pada September lalu apabila peratusan penduduk terutama di Marang yang lengkap divaksin dua dos telah meningkat,” katanya.

Ketua Balai Polis daerah mengagihkan buah tangan buat penerima dos kedua AstraZeneca, Che Ani Ahmad.
Menurut Dr. Tan, hal ini telah merealisasikan hasrat pucuk pimpinan untuk melihat rakyatnya menyahut seruan dan saranan oleh pakar-pakar kesihatan.
“Semalam (Ahad) dan hari ini (Isnin) merupakan hari terakhir suntikan dos kedua bagi penerima vaksin AstraZeneca di PPV Marang yang dianggarkan seramai 2200 orang.
“Manakala, bagi penerima vaksin yang baharu boleh terus ke Klinik Kesihatan terdekat sekiranya mendapat tarikh suntikan vaksinasi selepas tarikh PPV dihentikan operasi,” katanya.
Tinjauan akhir oleh Pegawai Daerah turut disertai oleh Ketua Balai Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Polis (DSP) Mat Zain Mat Dris, Ketua Penyelaras Pusat Vaksinasi Marang Dr. Zaleha Yusof serta ketua-ketua jabatan di daerah ini.
-ii-