
Laporan / foto : Noorshazana Shaadan (Port Dickson) / Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)
PORT DICKSON, 26 Okt (Malaysiaaktif) – Pengiktirafan dan penghargaan akan menjadi pendorong serta membangkitkan semangat untuk terus menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkualiti.
Pengarah Politeknik Port Dickson (PPD), Isa Azhari berkata pengiktirafan dapat mewujudkan persaingan sihat dalam menggalakkan penjawat awam untuk terus memberi komitmen dan daya usaha bagi mempertingkat mutu kerja dan produktiviti.
“Bekerja merupakan tugas yang tidak dapat dielakkan dan tanggungjawab agama, maka pekerja perlu mematuhi disiplin, nilai dan etika kerja yang seterusnya menjadi role model dan mentor terbaik kepada warga lain,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Politeknik Port Dickson 2020/2021, di Politeknik Port Dickson, di sini baru-baru ini.
Tambah Isa, seseorang pekerja haruslah mempunyai sikap dan penilaian positif serta tekun dalam melaksanakan tugasnya kerana bekerja dianggap sebagai ibadah.
“Banyak kejayaan yang diperoleh oleh Politeknik Port Dickson di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Pengiktirafan demi pengiktirafan antaranya Akreditadsi Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) , Building Information Modeling (BIM), Asia Pacific Accreditation And Certification Commission (APACC) dan The Regional Educator and Student Product’s Exhibition (RESPEX) sehinga menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang disegani dan diiktiraf antarabangsa.
Ujarnya lagi, pengiktirafan yang diberikan ini adalah membuktikan bahawa pihak PPD dan kerajaan Malaysia prihatin dan sangat menghargai sumbangan kakitangan PPD selama ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Noor Shahudin berkata sesebuah organisasi memerlukan pekerja yang mempunyai aspek-aspek seperti pengetahuan, kemahiran, kecekapan dan nilai positif bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan berada pada tahap yang cemerlang.
“Saya percaya, yang ada bersama-sama dengan saya pada hari ini masing-masing mempunyai nilai keazaman yang tinggi dalam kerjaya dan memegang amanah dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sehabis baik,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 43 orang warga PPD telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 dan sebanyak 13 Anugerah Kecemerlangan PPD disampaikan.
-FF