
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Perpustakaan Desa Kampung Darat Kijal menjalankan aktiviti bersama 75 orang pelajar Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di Bandar Baru Kijal.
Mazni Mahmud, 41, Pembantu Pustakawan, berkata aktiviti ini adalah julung kali diadakan pada tahun ini setelah hampir dua tahun berada dalam pandemik COVID-19.
“Semua aktiviti dihentikan apabila kes semakin meningkat pada satu ketika dahulu namun kini negara sudah berada dalam fasa endamik dan segala aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi,” katanya.

Mazni Mahmud, 41, Pembantu Pustakawan berkata aktiviti ini adalah julung kali diadakan di dalam fasa endemik.
Tambah Mazni, pemilihan pelajar dari SRIDI ini kerana lokasi perpustakaan Desa Kampung Darat Kijal dengan sekolah ini adalah tidak jauh.
“Tujuan aktiviti ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pembelajaran di luar bilik darjah di samping menggalakkan pelajar untuk mengenali fungsi perpustakaan Desa.
“Secara tidak langsung memberi galakkan kepada pelajar bersikap rajin membaca buku di mana-mana mereka berada,” jelasnya ketika ditemui di sini, semalam.
Bagi seorang pelajar, Haziq Mohd Azmi, 8, dia suka dengan aktiviti yang diadakan kerana dapat bergerak lebih bebas dan melakukan aktiviti seperti mewarna, menjawab soalan kuiz dan lain-lain.
Ayden Mustaqim Samsul Amri, 8, pula berkata dia begitu gembira dapat beraktiviti bersama wakil perpustakaan desa kerana dapat menonton kisah-kisah teladan yang dirakamkan oleh pihak perpustakaan desa.
Berlainan dengan Annur Husna Mohd Zamri, 7, berpendapat dengan aktiviti yang diadakan bersama, dia dapat mengenali kakitangan perpustakaan desa dengan lebih dekat lagi dan tahu lokasi sebenar perpustakaan Desa Kampung Darat Kijal ini.
Sementara itu, Guru Besar SRIDI, Wan Faizah Wan Husin ,52, mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Perpustakaan Desa Kampung Darat Kijal kerana memilih SRIDI sebagai tempat untuk beraktiviti.

Wan Faizah Wan Husin, 52, Guru Besar SRIDI berterima kasih kepada kakitangan perpustakaan desa kerana memilih SRIDI sebagai tempat beraktiviti.
“Ini memberi peluang kepada pelajar untuk merasai suasana pendidikan di luar bilik darjah dan secara tidak langsung ia dapat meningkatkan keyakinan diri terhadap apa juga aktiviti yang akan diadakan malahan ia merupakan pengalaman baru bagi pelajar di SRIDI,” katanya.