Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pasar Tani Antara Gapi Bantu Rancakkan Ekonomi Usahawan Hulu Selangor

By 16 Februari 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ameer Rithauddin Roslan (Hulu Selangor)

HULU YAM, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Pasar Tani Antara Gapi merupakan salah satu platform terbaik yang disediakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi merancakkan aktiviti urus niaga di antara peniaga dengan pelanggan khususnya dalam kalangan masyarakat setempat di samping membuka peluang untuk mereka meluaskan lagi perniagaan.

Menurut wakil pihak FAMA Hulu Selangor, Zaidi Mohd Sarip, sokongan akan terus diberikan bagi memberi peluang kepada pekebun-pekebun kecil serta pengusaha ladang untuk mengetengahkan hasil mereka terus kepada pelanggan.

“Pihak FAMA turut memantau dan memastikan setiap produk yang dijual oleh para peniaga pasar tani sentiasa dalam keadaan baik bagi memastikan kualiti serta aspek kesihatan pelanggan diutamakan,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani Antara Gapi, kelmarin.

Menurut peniaga buah-buahan tempatan Mustafa Abdul Razak, 45, bersyukur kerana dengan adanya pasar tani ini beliau mampu menjana keuntungan apabila mendapat permintaan tetap dari pengusaha-pengusaha hamper dan bakul buah-buahan di sekitar Antara Gapi serta Serendah.

“Keberadaan pihak FAMA di sepanjang tempoh operasi Pasar Tani setiap minggu amat membantu para peniaga terutamanya dari segi kebajikan, pematuhan peraturan serta tahap kebersihan dan kualiti produk jualan selain mengambil berat isu serta aduan yang berkaitan,” katanya lagi.

Pasar Tani Antara Gapi beroperasi pada setiap hari Rabu bermula pukul 4.00 petang hingga 10.00 malam di padang awam berhampiran Dataran Antara Gapi. Namun bermula pada 22 Februari ini, ia akan berpindah ke lokasi baharu di Tapak Penjaja Jalan Gapimas

-ZS-

Tinggalkan komen anda