
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Mohammad Ezwandi(Perak)
RUNGKUP, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Kehadiran Persembahan Pentas melalui Nyanyian, Tarian dan Drama (PENTARAMA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup di sini dalam siri jelajah PENTARAMA X Kelab Malaysiaku merancakkan lagi semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan pelajar, semalam.
Pengetua Azreen Zakariah, berkata pengisian program bukan sahaja berbentuk hiburan, malah sarat dengan informasi serta aktiviti yang berfaedah.

Kehadiran PENTARAMA sambil menyanyikan lagu patriotik bersama dengan warga SMK Rungkup telah memeriahkan perkarangan sekolah, semalam.
“Program seperti ini perlu diteruskan kerana selain memperkaya kokurikulum pelajar, ia juga berkesan dalam menyemai semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.
Penolong Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Perak Ashman Ahmad, berkata SMK Rungkup merupakan destinasi pertama bagi Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku di daerah Bagan Datuk.
“Objektif program di bawah kelolaan Jabatan Penerangan ini adalah untuk memupuk semangat patriotik serta menyemai rasa cintakan negara dalam kalangan pelajar.
“Pelbagai pengisian menarik turut diadakan seperti nyanyian lagu-lagu patriotik, kuiz kenegaraan dan pelbagai aktiviti lain,” katanya yang mewakili Pengarah JAPEN Perak Yosri Abu Mahsin.

Menurut Ashman objektif program adalah untuk memupuk semangat patriotik dan cintakan negara.
Sementara itu, pelajar Nur Athirah Azhar, 15, turut berkongsi pandangan sama sekiranya pendekatan edutainment (pendidikan sambil berhibur) yang diketengahkan mampu menarik minat pelajar untuk mendengar dan menyertai aktiviti.
“Aktiviti nyanyian lagu patriotik merupakan antara yang paling saya gemari, selain permainan puzzle yang membantu merangsang minda,” katanya.
PENTARAMA x Kelab Malaysiaku kini dalam siri jelajahnya di negeri Perak pada semalam dan esok dalam usaha membawakan pelbagai informasi dan dasar-dasar kerajaan dalam bentuk yang mudah diterima dan difahami oleh para pelajar.
-RI





