Skip to main content
JohorBerita Selatan

Mohd Amirulhusni Dinobat Juara Pertandingan Suara MADANI 2025

By 28 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

MUAR, 28 Jul (MalaysiaAktif) – Peserta dari Negeri Sembilan, Mohd Amirulhusni muncul sebagai juara Pertandingan Suara MADANI 2025 anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN).

Pertandingan yang merupakan penjenamaan semula program Bintang Patriotik itu menghimpunkan seramai 32 peserta dari seluruh negara, yang terdiri daripada juara-juara Bintang Patriotik terdahulu.

Amirulhusni tidak menyangka muncul juara Pertandingan Suara MADANI 2025 kerana hanya sempat berlatih selama seminggu dan sekadar ingin mencuba memberi persembahan terbaik.

Pertandingan berlangsung selama dua hari di peringkat saringan sebelum pemenang diumumkan pada sesi akhir petang kelmarin.

Mohd Amirulhusni, yang telah menyertai pertandingan ini setiap tahun tanpa gagal sejak 2018, melahirkan rasa syukur dan terharu atas kemenangan tersebut.

“Alhamdulillah, saya memang tidak sangka akan menjadi juara. Petang ini saya hanya cuba buat yang terbaik kerana saingan sangat hebat.

“Dalam masa satu minggu sahaja saya berlatih sejak mendapat tahu mengenai pertandingan ini dan alhamdulillah, usaha itu membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Dataran Tanjung Emas, di sini kelmarin.

Menurutnya, keunikan pertandingan ini adalah pada keperluan menyampaikan lagu-lagu berunsur patriotik, yang disifatkannya sebagai satu cabaran yang menyeronokkan.

Nor Azli (empat dari kiri), berkata Pertandingan Suara MADANI menghimpunkan 32 peserta dari seluruh negara, terdiri daripada juara-juara Bintang Patriotik sebelum ini.

“Saya anggap nyanyian lagu patriotik ini sebagai satu cabaran dan juga satu cara saya menyemarakkan semangat cinta negara melalui seni suara,” katanya.

Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka (BKVS) JAPEN Nor Azli Mohd Nor Azian, berkata pertandingan ini bukan sekadar pentas nyanyian, tetapi juga merupakan platform memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda.

“Suara MADANI adalah satu inisiatif untuk menyemai semangat cintakan negara. Ia memberi inspirasi bukan sahaja kepada peserta, malah kepada para pendengar untuk lebih menghargai erti kemerdekaan dan patriotisme,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda