Skip to main content
Rencana & Pendapat

Pasar Bandar Riyal Samarahan Rancakkan Pendapatan Peniaga Kecil

By 2 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Raszina Kawie (Sarawak)

SAMARAHAN, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Pasar Bandar Riyal atau lebih dikenali sebagai Pasar Tamu Bandar Riyal terus menjadi tumpuan masyarakat sekitar Kota Samarahan dan Kuching untuk mendapatkan hasil tani segar serta pelbagai barangan tempatan, sekali gus merancakkan ekonomi peniaga kecil di sini.

Terletak di kawasan Merdang, kira-kira 21 kilometer dari Kuching dengan perjalanan lebih kurang 25 minit, pasar ini mula beroperasi sejak 2015 di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

Sebanyak 200 buah gerai disediakan untuk peniaga berbilang kaum, termasuk Iban, Bidayuh, Melayu dan Cina, yang setiap hari memeriahkan suasana di lokasi perniagaan tersebut.

Pelbagai hasil jualan seperti terung asam, petai dan lain-lain.

Bukan Sekadar Tempat Berniaga

Bagi mereka dan para pengunjung, pasar ini bukan sahaja menjadi pusat perniagaan tetapi juga destinasi pelancongan komuniti yang mencerminkan keunikan warisan makanan dan budaya tempatan di Samarahan.

Tinjauan yang dilakukan di sini semalam mendapati pelbagai hasil kampung dan produk hutan seperti asam paya, buah kepayang, daun midin, paku, rebung, terung asam, bunga kantan, upak tepus dan pucuk ubi, atau lebih dikenali sebagai daun bandong, dijual bagi memenuhi kehendak masyarakat setempat.

Selain itu, terdapat juga hasil sungai dan laut seperti ikan keli, tilapia, kerang, ketam kalok, ikan pari, ikan siakap serta ayam kampung yang turut dijual, menjadikan pasar ini seolah-olah cukup lengkap untuk dikunjungi para pembeli.

Sumber Rezeki Peniaga Kampung

Seorang peniaga sayur kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Uncle John, 76, dari Kampung Merdang Gayam ketika ditemui berkata, beliau sudah hampir sedekad berniaga di sini dan berpuas hati dengan keuntungan yang diperoleh selama ini.

“Ramai pelanggan datang dari Kuching untuk mencari sayur kampung seperti midin, bunga kantan termasuk juga upak tepus yang sukar diperoleh di bandar besar dan kami yang berniaga di sini memang sentiasa menjual produk kampung dan hutan.

Uncle John telah lama berjual sayur kampung di Pasar Bandar Riyal.

“Semua sayur yang diinginkan pembeli ada dalam kuantiti yang mencukupi kerana Majlis Perbandaran Kota Samarahan telah menyediakan ruang yang cukup luas untuk kami berniaga,” katanya.

Tarikan Pelbagai Kaum

Beberapa peniaga lain yang turut ditemui bersetuju bahawa Pasar Bandar Riyal merupakan tumpuan utama, bukan sahaja bagi masyarakat sekitar tetapi juga pengunjung dari kawasan lain kerana lokasinya yang berhampiran dengan jalan utama menuju ke Samarahan.

Hasil hutan seperti umbut atau upak tepus dan buah asam paya mudah didapati di Pasar Bandar Riyal.

Seperti pasar atau tamu lain di Sarawak, pasar ini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ekonomi setempat tetapi juga medan pertemuan masyarakat berbilang kaum, unik dengan pelbagai suasana daripada keriuhan peniaga mempromosikan barangan jualan, tawar-menawar harga sehinggalah aroma masakan tradisi yang menambahkan lagi daya tarikan pasar ini.

Lebih daripada sekadar tempat membeli ikan dan sayur, Pasar Tamu Bandar Riyal adalah pentas kehidupan yang memperlihatkan warna-warni budaya dan kebersamaan masyarakat. Jika anda ke Samarahan, jadikanlah ia salah satu persinggahan wajib.

-RJ-

Tinggalkan komen anda