
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 7 Nov (MalaysiaAktif) – Pengurusan bencana di negara ini sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dengan pelaksanaan sistem jaringan yang tersusun di semua peringkat pusat, negeri dan daerah bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cekap dan berkesan.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan (kanan), meninjau stok bekalan bantuan bencana semasa lawatan kerjanya ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DKSB) Negeri Sabah, pada Khamis.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata setiap peringkat pengurusan bencana mempunyai jaringan agensi tersendiri termasuk JKM, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pelbagai agensi kerajaan lain.
“JKM turut berkolaborasi rapat dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh keupayaan tindak balas semasa bencana.
“Kita amat berharap mana-mana NGO atau syarikat korporat yang ingin menyalurkan bantuan agar berhubung terus dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) atau JKM. Ini penting bagi memastikan bantuan dapat diselaraskan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DKSB) Negeri Sabah, di sini pada Khamis.
Menurutnya, penyelarasan di peringkat agensi perlu mengelakkan bantuan yang dihantar tidak menepati keperluan sebenar mangsa bencana seperti penghantaran barangan yang tidak sesuai atau kelewatan bantuan.

Stok bekalan bantuan bencana yang disediakan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DKSB) bagi keperluan kecemasan di seluruh negeri.
“Kalau diselaraskan dengan baik, kita tahu apa keperluan semasa. Contohnya, kalau mangsa perlukan selimut, komputer atau barangan tertentu, kita boleh minta secara khusus. Ia akan timbul kesukaran ketika proses agihan.
“Bantuan kebajikan kepada mangsa bencana juga diberikan secara menyeluruh, termasuk bantuan makanan dan keperluan asas di pusat pemindahan sementara (PPS), selain kerajaan yang menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 kepada isi rumah terjejas sekali sepanjang tahun bagi setiap kejadian bencana,” ujarnya.
JKM juga menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kebajikan di bawah kerajaan MADANI termasuk bantuan untuk warga emas, individu orang kurang upaya (OKU) bekerja atau tidak bekerja serta bantuan khas di peringkat negeri dan persekutuan.
Setiap tahun kerajaan katanya memperuntukkan hampir RM3.2 bilion bagi tujuan bantuan kebajikan di seluruh negara sebagai komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela, terutama golongan rentan dan terjejas akibat bencana.
-FN








