
Laporan/foto: Boniface Watt Su/ Ignatius Golen Anak Sugai (Sarawak)
PAKAN, 14 Nov 2025 (MalaysiaAktif) – Lidang Anak Budah dari Rumah Kapat Tubai Buah, Pakan, terus mempertahankan tradisi anyaman rotan masyarakat Iban meskipun berdepan arus pemodenan. Ketekunan beliau mengusahakan seni turun-temurun ini bukan sahaja mengekalkan warisan, malah memberikan sumber rezeki yang konsisten kepada keluarganya.
Kini berusia 60 tahun, Lidang menghasilkan bakul tradisional lanji atau lanjik/lanjek, iaitu bakul rotan berkaki kayu bersaiz besar setinggi kira-kira tiga kaki. Bakul ini digunakan untuk menyimpan peralatan pertanian serta hasil tuaian seperti padi dan lada. Kehalusan anyaman dan kekuatan struktur bakul menjadikannya antara produk yang kerap mendapat permintaan.

Lidang tekun menghasilkan Bakul Sintong dan lanji, meneruskan tradisi anyaman rotan masyarakat Iban.
Lidung turut menganyam Bakul Sintong, sejenis bakul rotan yang digunakan untuk menyimpan benih padi atau beras ketika musim menuai. Bakul tersebut diikat menggunakan kulit kayu, disangkut pada bahu dan dibawa di belakang ketika bekerja di sawah. Mengikut kepercayaan masyarakat setempat, Bakul Sintong perlu disiapkan dalam tempoh satu hari, bermula daripada proses membilah rotan sehingga bingkai disempurnakan sebelum matahari terbenam.
Dengan kemahiran yang diwarisi sejak kecil, Lidang mampu menyiapkan antara dua hingga enam bakul sehari. Hasil anyaman ini dijual bersama suaminya, Entengan Anak Matek, 66, di pasar sekitar Sibu dan Saratok mengikut permintaan. Harga yang ditawarkan pula bergantung pada saiz dan jenis bakul, iaitu antara RM20 hingga RM130.

Entengan menjual hasil anyaman rotan di pasar sekitar Sibu dan Saratok.
Pendapatan bulanan daripada penjualan bakul rotan mampu mencecah lebih RM1,000. Ia membuktikan bahawa seni anyaman tradisional masih berpotensi menjana pendapatan dan wajar dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman.
Selain menghasilkan bakul tradisional, Lidang turut menekankan bahawa proses anyaman rotan memerlukan kesabaran serta pemilihan rotan yang tepat. Rotan perlu direndam bagi melembutkannya sebelum dibelah halus, memastikan setiap jalur seragam untuk menghasilkan anyaman yang kemas dan tahan lama. Setiap bakul mempunyai corak anyaman berbeza mengikut kegunaan, menampilkan identiti seni masyarakat Iban.

Antara bakul-bakul yang telah siap dianyam
Beliau juga menggunakan teknik anyaman silang dan lilit, yang memerlukan ketelitian agar bakul tidak mudah longgar. Rotan yang lebih tua digunakan untuk bahagian rangka bagi menjamin kekuatan, manakala rotan muda dijadikan jalur anyaman supaya bakul lebih rapi dan ringan. Proses mewarna pula dilakukan menggunakan pewarna semula jadi yang diperoleh daripada tumbuhan hutan, mengekalkan ciri tradisional produk mereka.
-RJ-







