
Laporan/foto: Rokayah Gobik (Niah)
NIAH, 19 Mei (MalaysiaAktif) – Pantai Bungai terus menjadi antara destinasi rekreasi pilihan pengunjung khususnya pada musim cuti sekolah, hujung minggu dan sambutan perayaan kerana menawarkan suasana pantai yang nyaman serta pelbagai kemudahan untuk seisi keluarga.
Peniaga Tamu Tanjung Bungai, Azizah Laleh, 49, berkata kawasan pantai tersebut sering dipenuhi pengunjung terutama ketika musim cuti umum dan penganjuran Majlis Makan Tahun di kampung berhampiran.
Menurut beliau, kehadiran pengunjung bukan sahaja memeriahkan kawasan tersebut, malah membuka peluang kepada penduduk tempatan menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan.
“Biasanya pengunjung datang pada musim cuti, hujung minggu dan hari perayaan. Pantai Bungai menjadi lebih meriah apabila ada Majlis Makan Tahun di kampung berdekatan.
“Kehadiran ramai pengunjung turut membantu peniaga tempatan menambah pendapatan melalui jualan makanan, hasil laut dan barangan keperluan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, kelmarin.
Sementara itu, pengunjung dari Miri, Sarbini Nayan, 53, memberitahu beliau kerap membawa keluarganya beriadah di Pantai Bungai kerana suasananya yang bersih, selesa dan sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga.
Selain menjadi lokasi rekreasi, Pantai Bungai turut terkenal sebagai kawasan pendaratan nelayan yang membolehkan pengunjung melihat deretan perahu nelayan di pesisir pantai serta menikmati suasana kampung nelayan tradisional.
Kawasan tersebut juga menjadi sumber ekonomi penduduk setempat menerusi jualan buah-buahan, sayur-sayuran, makanan tradisional kering serta hasil laut seperti ikan segar dan ikan masin.
-RJ-







