Skip to main content
HomeSabah

ATM Bakal Bina Bangunan Markas 13 Briged di Lahad Datu

By 13 November 2018Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Asmidar Zainol/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Bangunan Markas 13 Briged Lahad Datu bakal dibina awal tahun hadapan.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata bangunan markas berkenaan bakal menggantikan markas sedia yang terletak di Bandar Cenderawasih.

“Kita masih dalam perbincangan akhir dengan kerajaan negeri dan sekiranya semua berjalan lancar, kemungkinan kita akan mulakan pembinaan awal tahun hadapan dan mengambil masa 18 bulan hingga dua tahun untuk disiapkan.

“Saya belum boleh menyebutkan kos pembinaan kerana perlu mengenal pasti lokasi dan mungkin akhir tahun ini akan dimuktamadkan,” ujarnya.

Zulkifli turut memaklumkan kemudahan anggota tentera yang bertugas di pulau-pulau khusus di perairan Sabah keadaannya adalah bersesuaian.

Zulkifli semasa ditemui media

Zulkifli semasa ditemui media

“Kemudahan pada masa ini adalah bersesuaian untuk menjalankan tugas, walaupun begitu banyak perkara boleh ditambah baik bukan sahaja untuk keselesaan tetapi keupayaan beroperasi dengan baik perlu dilihat semula.

“Kita perlu mengakui bahawa untuk penambahbaikan memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi, dengan keadaan ekonomi semasa negara, kita akan menyesuaikan dengan keadaan tersebut iaitu sebagai organisasi yang memahami akan perihal pentingnya nilai untuk wang (value for money) dalam apa sahaja yang kita rancang dan laksanakan.

“Dari segi kesiapsiagaan memang mencukupi dan berada ditahap yang tinggi serta semangat yang amat baik dan saya yakin anggota tentera yang sedang menjalankan tugas di perbatasan dapat melaksanakan tugas dengan baik,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini.

Hadir sama Panglima Angkatan Petugas 450, Mejar Jeneral Datuk Zulkapri Rahamat dan Panglima Lima Briged, Briged Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan.

EM

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda