
Laporan/foto : Maherah Marina Mahusin M. A. (KUALA TERENGGANU)
KUALA TERENGGANU , 21 Feb (Malaysia Aktif) – Majlis Penyampaian Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, YAB Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.
Menurut Wan Azizah, awal tahun ini negeri Terengganu turut terkena tempias Ribut Tropika Pabuk di mana 49 buah rumah di Pulau Redang dilaporkan mengalami kerosakan.
“Antara inisiatif kesiapsiagaan yang telah dilaksanakan bagi menghadapi Monsun Timur Laut bagi tahun 2018/2019 ialah pemberian peruntukkan berjumlah RM80,000.00 kepada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah di Negeri Terengganu dan RM10,000.00 telah disalurkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk perbelanjaan mengurus.” katanya.

Salah seorang ketua isi rumah yang menerima bantuan ihsan sebanyak RM500, Puan Azizah Ali dari Kampung Padang Gong Pak Maseh, Kuala Terengganu
Wan Azizah juga telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM525,500.00 bagi pemberian bantuan ihsan untuk 1, 051 keluarga.
“Bantuan ini akan diserahkan kepada 994 Ketua Isi Rumah yang terkesan daripada banjir pada tahun 2018 dan 57 ketua isi rumah yang mengalami kerosakkan harta benda akibat Ribut Tropika Pabuk,” tambahnya.
Manakala Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Terengganu, Lt.Kol (PA) Che Adam A. Rahman, berharap kesedaran terhadap masyarakat tentang pentingnya untuk terus mendengar arahan pindah apabila berlaku bencana agar tiada kemalangan jiwa.