
Laporan /foto:Asmidar Zainol/ Marusin Minuddin(Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Syarikat pelabur antarabangsa Kumpulan REI Holding Korea berminat melabur dalam industri pelancongan kesihatan di negeri ini.
Pengerusi Kumpulan, Hong Soonbong berkata projek Bandar Kesihatan berkenaan bakal menelan belanja USD400 milion (RM1.6 bilion) hingga USD500 milion.
“Projek berkenaan meliputi hospital awam melibatkan pusat perubatan, pusat pemeriksaan serta jabatan perubatan seperti klinik kesuburan, onkologi, pergigian, ENT, kosmetik dan stem cell.
“Apabila projek ini siap, ia akan menjadi nadi utama kepada pelancong luar negara untuk datang ke sini.
“Saya berharap Sabah menjadi destinasi terakhir di Malaysia sebagai lokasi pelaburan syarikat kami,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Tambah Hong, persekitaran negeri yang kaya dengan produk pelancongan amat sesuai bagi pelaksanaan projek berkenaan.
Turut hadir pada kunjungan tersebut adalah Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Norazlinah Arif dan Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan, David Han Kyunghyun.