Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Mangsa Banjir Bertungkus Lumus Bersih Rumah

By 11 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)

KEMAMAN, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Penduduk di beberapa kawasan perumahan Bukit Mentok, Kemaman seperti di Taman Asoka dan Taman Akasia mula pulang ke rumah setelah air banjir mulai surut untuk mengambil peluang membersihkan kediaman masing-masing akibat ditenggelami air banjir, baru-baru ini.

Menurut seorang mangsa banjir di Taman Asoka, Rizalman Ramli, 43, yang merupakan seorang pekerja swasta, dia menganggarkan kerugian yang dialaminya sebanyak RM10,000 dalam kejadian banjir yang berlaku kali ini.

Kerosakan barangan akibat banjir di Bukit Mentok, Kemaman, baru-baru ini.

Kerosakan barangan akibat banjir di Bukit Mentok, Kemaman, baru-baru ini.

“Saya tidak mampu untuk menyelamatkan sebahagian besar harta benda kerana air banjir naik begitu cepat pada waktu malam dan mengakibatkan banyak barang yang rosak seperti tilam, karpet, sofa dan meja makan,” katanya.

Rizalman Ramli, 43 tahun, kakitangan swasta.

Rizalman Ramli, 43 tahun, kakitangan swasta.

Bagi seorang kakitangan awam, Ahmad Amran Baba, 53 tahun, dia telah membuat persediaan awal dengan meletak barangan elektrik dan dokumen penting di atas loteng yang dibuat sendiri supaya tidak ditenggelami air banjir.

“Banjir yang berlaku kali ini bukanlah pertama kali bagi saya dan saya membuat persediaan awal dengan meletakkan barangan yang penting di tempat yang selamat.

“Pengalaman banjir yang lepas menjadikan saya tidak begitu panik kerana sudah bersedia untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Seri Iman,” katanya.

Ahmad Amran Baba, 53 tahun, kakitangan awam.

Ahmad Amran Baba, 53 tahun, kakitangan awam.

Sementara itu, Fatihah Basiron, 24, seorang peniaga atas talian dari Taman Akasia berkata, dia masih bersyukur kerana banjir kali ini tidaklah seteruk banjir pada tahun 2014 meskipun barangan rumahnya seperti sofa, kabinet dapur dan tikar getah turut mengalami kerosakan.

“Kesemua barang ini tidak dapat digunakan lagi tetapi yang penting kerjasama penduduk di taman amat baik kerana saling membantu antara satu sama lain.

Fatihah Basiron, 24 tahun, peniaga atas talian bersyukur banjir kali ini tidak seteruk tahun 2014.

Fatihah Basiron, 24 tahun, peniaga atas talian bersyukur banjir kali ini tidak seteruk tahun 2014.

“Semangat kejiranan yang macam inilah kita cari untuk merapatkan silaturahim sesama jiran,” katanya ketika ditemubual, semalam.

Setakat pukul 12.00 tengah hari tadi, Daerah Kemaman mencatatkan 144 mangsa banjir dari 33 buah keluarga di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai.

-ii-

Tinggalkan komen anda