Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Tandas Awam Kebanggaan Penduduk

By 8 Februari 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulkifli Othman/Mahadi Mustafa (Dungun)

DUNGUN, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Tandas Awam Rantau Abang, Dungun telah dinobatkan sebagai tandas Terbaik Asean 2019–2021 sempena ASEAN Public Toilet Standard 2019.

Tandas yang terletak berhadapan dengan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang ini menjadi kebanggaan penduduk dan sering disinggahi pelancong dalam dan luar negara yang datang untuk menikmati keindahan Pantai Rantau Abang dan menyaksikan habitat semulajadi penyu bertelur.

Faridah Chaiman, 39, pekerja yang bertugas di tandas awam ini berkata, sikap rakyat negara kita yang sering merungut tentang tahap kebersihan tandas awam memberi motivasi kepada beliau untuk menjadikan tandas ini bersih, cantik dan selesa digunakan oleh pengunjung, di samping ingin menjaga nama baik Rantau Abang sebagai pusat pelancongan yang agak terkenal di negeri ini.

Katanya lagi, komitmen untuk menjadikan tandas ini antara tandas terbaik timbul apabila diberikan kepercayaan oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD) sejak tujuh tahun lalu.

Faridah Chaiman, 39 individu yang bertanggungjawab menjaga kebersihan Tandas Awam Rantau Abang.

Faridah Chaiman, 39 individu yang bertanggungjawab menjaga kebersihan Tandas Awam Rantau Abang.

“Saya menganggap tandas ini seperti tandas di rumah sendiri dan membersihkannya tiga kali sehari bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

“Penekanan aspek persekitaran dalaman dan landskap luaran serta sentiasa pastikan tandas berbau wangi menjadi keutamaan kepada saya dalam menguruskan kerja-kerja selenggaraan setiap hari,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ruangan tandas yang sentiasa kemas, teratur dan berbau wangi.

Ruangan tandas yang sentiasa kemas, teratur dan berbau wangi.

Tambah Faridah, kemenangan dan saguhati yang diberikan oleh pihak kerajaan telah membakar semangatnya untuk memastikan tandas ini terus kekal bersih dan selesa digunakan oleh orang ramai.

Faridah menjalankan tugas bagi memastikan keadaan tandas sentiasa bersih dan kemas.

Faridah menjalankan tugas bagi memastikan keadaan tandas sentiasa bersih dan kemas.

Penduduk Kampung Rantau Abang yang juga peniaga kedai makan bersebelahan tandas awam ini, Fatimah Awang, 67, menganggap pemilihan tandas terbaik ini adalah satu kejayaan bagi penduduk kampung yang sangat membanggakan.

Tambah beliau, terdapat pengunjung daripada luar singgah di sini semata-mata untuk mengambil gambar dan melihat sendiri suasana tandas bersih yang telah diiktiraf oleh dunia.

Fatimah Awang, 67, penduduk Kampung Rantau Abang.

Fatimah Awang, 67, penduduk Kampung Rantau Abang.

Seorang pengguna, Rohana Hussin, 53, teruja dan terkejut kerana tandas awam ini dapat mengalahkan tandas di negara yang terkenal dengan kebersihan seperti negara Jepun dan berharap semua tandas awam dapat mencontohi tandas Rantau Abang ini.

“Saya berharap agar orang ramai dapat mengelakkan kegiatan vandalisme seperti menconteng dan merosakkan harta benda awam yang selalu berlaku terutama di tandas-tandas di negara kita,” katanya.

Tandas tersebut telah mendapat penarafan lima bintang dan pernah menerima beberapa anugerah lain termasuk sebagai johan Pertandingan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Cemerlang 2016 dan Anugerah Perak kategori Tandas Awam milik PBT (Bandaraya/Perbandaran) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 2016 dan 2018.

-ii-

Tinggalkan komen anda