
Oleh Faris Fuad (Parlimen)
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menasihatkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar membawa anak sulung Sultan Sulu, Puteri Jacel Kiram dan bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada sebagai saksi dalam lawatan beliau tempoh hari.
Beliau berkata individu terbabit boleh tampil menyokong kenyataan Izzah apabila beliau dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan nanti.
“Saya sudah cakap daripada tadi, usul yang kita bawa sebenarnya satu usul untuk memberi Lembah Pantai peluang bela diri dan bawa saksi untuk maklumkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan tentang apa yang berlaku, seperti pembiaya program, lawatan dan siapa ada bersama.
“Mungkin beliau boleh bawa Estrada atau puteri itu sendiri sebagai saksi,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Azalina menjelaskan Dewan Rakyat bukan platform untuk memberikan penjelasan bagi membela diri.
“Jawatankuasa akan putuskan sama ada untuk buat hukuman atau terima penjelasan beliau. Ini bukan seperti kes Gelang Patah, kita beri enam bulan (penggantungan). Hukuman terpulang kepada jawatankuasa,” katanya lagi.