Skip to main content
HomeViral

Dewan Rakyat Lulus Usul Bela Diri, Izzah Hadap Jawatankuasa

By 3 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Dewan Rakyat hari ini mengesahkan isu lawatan Ahli Parlimen PKR-Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan perkara tersebut selepas meraih sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Setelah kita mengadakan belah bahagian tadi, ini adalah keputusannya. Yang tidak bersetuju dengan usul 77 orang, yang bersetuju dengan usul 105 orang.

“Maka, usul untuk merujuk Lembah Pantai ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dipersetujui,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Perkara tersebut diusulkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, selepas gambar pertemuan Nurul Izzah bersama anak sulung kepada ketua pencerobohan Lahad Datu, Sabah, Jacel Kiram tersebar meluas di laman sosial bulan lalu.

Azalina berpendapat tindakannya itu seolah-olah mencabar kedaulatan undang-undang negara dan mencemarkan nama baik Dewan Rakyat.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata beliau akur dengan keputusan itu dan sedia bekerjasama dengan pihak jawatankuasa itu.

“Saya terima keputusan itu dan bersedia berhadapan dengan jawatankuasa. Saksi akan ditentukan kemudian,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Izzah dalam satu kenyataan mengakui beliau dan Naib Presiden PKR, Tian Chua berada di Filipina untuk bertemu beberapa pihak berkepentingan di negara tersebut pada 9 November lalu.

Tian Chua berkata perjumpaan tersebut melibatkan golongan atau sebahagian daripada kerajaan Filipina bukan pengganas yang tidak diiktiraf oleh negara tersebut seperti yang didakwa orang ramai.

 

Tinggalkan komen anda