Skip to main content
EkonomiHomeViral

Isu RM2.6bil Tidak Wajar Bincang Secara Terbuka

By 3 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari  ini menjelaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaklumkan dana politik sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan  daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata isu itu tidak wajar dibincangkan secara terbuka kerana siasatan masih dijalankan oleh beberapa pihak tertentu.

“Kerajaan dinasihatkan Peguam Negara, kenyataan yang dikeluarkan tidak wajar diberi, kerana perkara itu masih dalam siasatan agensi berkaitan.

“Namun begitu, SPRM juga sudah mengenal pasti penderma dana itu. Bank Negara juga dimaklumkan mengenai pembukaan akaun itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata dana derma politik dianggap sebagai perkara biasa dan diamalkan semua parti dalam negara.

Tambahnya, Najib yang juga Presiden Umno telah memperkenalkan pembiayaan dana politik dikawal selia sejak 2009, di mana pada 2010, Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah menyarankan parti politik menandatangani ikrar dana politik.

“Dalam sistem demokrasi, amalan derma politik dibenarkan dan diamalkan pembangkang. Jangan pura-pura pembangkang tidak perlu derma, sebab ini bukan perkara baru.

“Bagaimanapun, saranan Perdana Menteri berhubung pembiayaan dana politik ditolak pembangkang. Sehingga kini, tidak ada undang-undang khusus pembiayaan politik (digubal).

“Isu ini dapat perhatian umum. Tahun ini, kerajaan ketengahkan cadangan asal, kawal selia dana politik dengan menubuhkan jawatankuasa konsultatif, ambil pandangan semua pihak,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata peruntukan dalam perlembagaan Umno membenarkan presiden parti mempunyai akaun amanah bagi pihak parti.

Beliau berkata duit yang berada di dalam akaun amanah itu bukan datang daripada 1MDB sebagaimana yang cuba dikaitkan pihak pembangkang sebelum ini.

 

Tinggalkan komen anda