Skip to main content
HomeLabuan

PDRM Labuan Gariskan Tiga Hala Tuju Tahun 2019

By 9 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/ Jeffrey Nian

LABUAN, 9 Jan (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Labuan menggariskan tiga hala tuju utama tahun 2019 bagi memerangi isu jenayah dan pendatang tanpa izin di Labuan.

Menurut Ketua Polis Labuan, Supt. Muhamad Farid Ahmad, Hala Tuju yang pertama adalah untuk memerangi dan mengurangkan kadar jenayah melalui pendekatan holistik dengan meningkatkan kecekapan serta operasi bersepadu melibatkan semua bahagian IPD Labuan.

“PDRM juga akan meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menjaga keselamatan harta benda masing-masing.

“Kita juga akan meningkatkan kualiti maklumat menggunakan modul Central Criminal Intelligence Unit (CCIU) melibatkan jenayah dari semua peringkat anggota dan pegawai IPD Labuan,” katanya.

Katanya lagi, hala tuju kedua adalah membenteras penyalahgunaan dadah secara menyeluruh dengan meningkatkan operasi di sarang-sarang yang dikenal pasti seperti menerusi Ops Tapis dan Ops Sarang.

“Kita akan bertindak tegas kepada pengedar atau penagih berulang dan dikenakan siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan selama lima tahun,” katanya.

Bagi hala tuju ketiga pula, Farid menerangkan PDRM akan meningkatkan pemeriksaan dan tangkapan di kawasan penempatan haram atau setinggan melibatkan warga asing di sekitar Labuan.

“Operasi dengan agensi berkaitan lain antaranya Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara, Rela, Jabatan Pendaftaran, Perbadanan Labuan akan ditingkatkan bagi membendung kebanjiran warga asing.

“PDRM juga akan mengkaji modus operandi kemasukan pendatang asing ke Labuan termasuk mengadakan pemeriksaan mengejut di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, feri dan penumpang feri,” katanya lagi pada sidang media Laporan Tahunan dan Statistik Jenayah Tahun 2018 IPD Labuan, pagi tadi.

Selain itu, Farid turut berkongsi beberapa statistik antaranya peningkatan kadar pertuduhan kes jenayah sekaligus mengatasi KPI yang ditetapkan.

“IPD Labuan mencapai KPI yang ditetapkan yang mana kadar pertuduhan kita adalah sebanyak 42.47 peratus mengatasi KPI yang ditetapkan sebanyak 35 peratus.

“Kadar penyelesaian kes pula, IPD Labuan mencapai 55.64 peratus dari jumlah keseluruhan 266 kes yang dilaporkan bagi tahun 2018 mengatasi KPI ditetapkan sebanyak 45 peratus.

Tambahnya, terdapat peningkatan pada indeks jenayah sebanyak 62 kes bersamaan 30.39 peratus bagi tahun 2018.

“Jenayah kekerasan meningkat lima kes bersamaan 25 peratus dari jumlah dilaporkan 25 kes berbanding 20 kes tahun 2017.

“Manakala jenayah harta benda mencatat kenaikan 57 kes bersamaan 30.98 peratus daripada 241 kes berbanding 184 kes tahun 2017.

“Analisa juga menunjukkan 60.04 peratus daripada 513 penjenayah terlibat adalah warganegara Malaysia manakala sebanyak 39.95 peratus penjenayah adalah warga negara Asing, daripada jumlah itu seramai 130 orang positif dadah bersamaan 25.34 peratus,” kongsinya.

EM

Tinggalkan komen anda