Skip to main content
HomeJohor

Rakyat Malaysia Disaran Kurangkan Gula

By 17 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)

MUAR, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Kempen Kurangkan Gula Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang bahaya pengambilan gula secara berlebihan.

Pengambilan gula yang berlebihan secara berterusan dan tanpa disedari akan meningkatkan pengambilan kalori yang seterusnya akan menyebabkan peningkatan berat badan dan obestiti.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Dzulkefly Ahmad, penduduk negara kita sedang menghadapi pelbagai masalah kesihatan yang sangat membimbangkan dan rakyat negara ini sedang berhadapan dengan masalah obesiti yang merupakan faktor risiko utama kepada penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan hipertensi.

“Hasil tinjauan kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan bahawa prevalen obesiti di kalangan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas di Malaysia telah meningkat dengan mendadak iaitu daripada 4.4 peratus pada tahun 1996 kepada 14.0 peratus pada tahun 2006 dan meningkat kepada 15.1 peratus pada tahun 2011 dan 17.7 peratus pada tahun 2015.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Gula Peringkat Kebangsaan 2019

Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Gula Peringkat Kebangsaan 2019

“Prevalen berlebihan badan di kalangan orang dewasa pula adalah 30.3 peratus dan jika kita jumlahkan kedua-dua prevalen ini, didapati hampir separuh rakyat Malaysia adalah berlebihan berat badan atau obses,” katanya.

Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, penyumbang langsung kepada masalah kegemukan atau obesiti adalah ketidakseimbangan antara tenaga atau kalori yang diambil melalui makanan dengan aktiviti fizikal yang dilakukan.

Gula merupakan antara penyumbang utama kepada pertambahan kalori yang tidak perlu (empty calorie) dan hanya membekalkan tenaga serta tiada kandungan nutrien atau khasiat pemakanan lain. Pertambahan kalori yang tidak sepatutnya ini akan menyebabkan kita berasa kenyang dan kurang mengambil makanan lain yang dapat membekalkan kalori di samping nutrien lain.

Proses ini akan menjurus kepada pengambilan diet yang tidak sihat, menambah berat badan dan meningkatkan risiko mendapat penyakit tidak berjangkit.

“Dalam usaha untuk memberi maklumat yang betul berkaitan gula secara berterusan dan seterusnya menggalakkan rakyat mengambil makanan dan minuman yang kurang gula, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bersama rakan-rakan strategik iaitu Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya menjalankan beberapa aktiviti seperti memuatnaik mesej, infografik dan video berkaitan gula di laman web dan media sosial.

Dr Dzulkefly Ahmad bergambar bersama peniaga-peniaga R&R Pagoh (Arah Utara)

Dr Dzulkefly Ahmad bergambar bersama peniaga-peniaga R&R Pagoh (Arah Utara)

Memapar slogan dan mesej tentang kalori di Variable Message Systems (VMS) dan portal serta laman web Kementerian Kerja raya Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya adalah di antara langkah menyebarkan maklumat yang berkaitan.

Pemaparan kandungan kalori dalam makanan dan minuman yang dijual di semua Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) juga dapat membantu menyedarkan orang ramai tentang bahayanya pengambilan kalori secara berlebihan dan tidak ketinggalan mempromosikan konsep ‘Suku Suku Separuh’ bagi makanan yang dijual.

Dalam pada itu, para peniaga R&R Pagoh (Arah Utara) turut menyokong terhadap kempen kurangkan gula ini dengan memberi diskaun sebanyak 50 peratus bagi minuman yang dipesan tanpa gula pada hari ini sahaja. Selepas hari ini, pengurangan 10 sen akan diberi secara berterusan bagi minuman yang dipesan kurang atau tanpa gula.

Para penjual turut menyokong kempen kesedaran ini dengan cara menurunkan harga buah-buahan yang dijual terutamanya buah-buahan yang siap dipotong.

“Bagi peniaga yang menjual hidangan berat yang lain, mereka juga komited untuk meningkatkan hidangan sayur selari dengan konsep ‘Suku Suku Separuh’ yang diperkenalkan sebelum ini. Saya berasa gembira dengan perkembangan yang sangat positif ini dan berharap inisiatif ini turut dapat dilaksanakan di seluruh kawasan R&R termasuk semua premis makanan lain yang menjadi tumpuan masyarakat Malaysia,” ujarnya lagi.

Dr Dzulkefly Ahmad, berkesempatan mengunjungi pameran agensi kerajaan.

Dr Dzulkefly Ahmad, berkesempatan mengunjungi pameran agensi kerajaan.

Dzulkefly berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Gula Peringkat Kebangsaan 2019 di R&R Pagoh (Arah Utara) Muar semalam.

Seorang pengunjung R&R Pagoh (Arah Utara), Mohd Yusof Ahmad, 41, berkata kempen yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan ini amat bagus untuk mendidik rakyat supaya sentiasa berhati-hati dengan gula tersembunyi di dalam makanan dan minuman yang diambil. Dalam pada masa yang sama juga diharap pihak kerajaan dapat memantau harga makanan di setiap R&R yang kadangkala dilihat terlalu mahal.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Azman Ismail.

EM

Tinggalkan komen anda