Skip to main content
HomeLabuan

Labuan Tuai Empat Emas pada 1st Borneo Karatedo Open Championship 2019

By 1 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 1 April (Malaysiaaktif) –  Pasukan Karate Wilayah Persekutuan (WP) Labuan berjaya membawa pulang empat Emas, satu Perak dan lima Gangsa pada kejohanan 1st Borneo Karatedo Open Championship 2019 yang diadakan pada 29 hingga 31 Mac lalu di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah, Brunei Darussalam.

Menurut Ketua Jurulatih Karate Labuan, Aswadee Taba, Kontinjen Labuan seramai tujuh atlet dan seorang Jurulatih iaitu Sensei Mohd Norfarhan Nordin menduduki tempat ke-3 secara keseluruhan daripada lima kontinjen yang menyertai kejohanan itu.

“Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan, Adib Abdullah Mohd Dzulfadzly meraih pingat emas pertama buat pasukan bagi kategori Lelaki Kumite (12-13 tahun) diikuti tiga lagi pingat emas melalui Muhammad Aiqal Asmadie (pelajar SM St. Anthony), Mohamad Azib Aiman (pelajar SM Sains Labuan) dan Sam Hiang Fong (pelajar Pra-U SMK Labuan) bagi kategori masing-masing iaitu Lelaki Kumite (Cadet), Lelaki Kumite Junior dan Perempuan Kumite (Bawah 21 tahun) pada hari kedua kejohanan.

“Seterusnya, Muhammad Isyraf Faiz Mohd Ismifarizal (pelajar Labuan International School) memperolehi satu pingat perak dan satu pingat gangsa bagi kategori (Lelaki Kumite 10-11 tahun) dan (Lelaki Individu Kata 10-11 tahun).

“Empat lagi pingat gangsa diperolehi oleh Mohamad Irfan Firdaus Mohd Yusni (pelajar SK Layang-Layangan) bagi kategori Lelaki Kumite 12-13 tahun, Sam Hiang Fong (pelajar Pra-U SMK Labuan) bagi kategori Perempuan Kata bawah 21 tahun, Mohamad Azib Aiman Mohamad Affendi (pelajar SM Sains Labuan) bagi kategori lelaki Kata Junior dan Edward Wong bagi kategori Lelaki Kata Bawah 21 tahun,” katanya.

Aswadee mengucapkan terima kasih atas kepercayaan para ibu bapa dan sokongan kepada pasukan karate WP Labuan walaupun tidak mendapat sebarang bantuan semasa menyertai kejohanan itu.

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada Sam Hiang Kiat yang membiayai pengangkutan dan penginapan sepanjang pasukan Karate WP Labuan berada di Brunei Darussalam,” katanya lagi yang ditemui media semalam.

Kontinjen Sabah menjadi Johan keseluruhan apabila menuai 24 pingat emas, diikuti Brunei Darussalam dengan 10 pingat emas, manakala Indonesia di tangga ke empat dengan dua emas dan Sarawak di tempat ke lima dengan tiga pingat perak.

EM

Tinggalkan komen anda