Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Program KampungKu Sihat Usaha Cegah Penyakit Tidak Berjangkit (NCD)

By 1 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan & foto : Sharman Subramaniam (Kuala Selangor)

JERAM, 1 Apr  (Malaysiaaktif) – “Program Kampungku Sihat merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan oleh KKM dalam meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mencegah peningkatan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD)” kata Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkeply Ahmad dalam Pelancaran Program KampungKu Sihat Peringkat Parlimen Kuala Selangor di Dewan Orang Ramai, Kampung Bukit Kuching Tengah, pagi tadi.

Menurut beliau, mereka yang dikenal pasti berisiko untuk mengidap Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) seperti darah tinggi dan kencing manis akan dinasihatkan untuk merujuk ke klinik kesihatan atau hospital terdekat bagi mengadakan pemeriksaan selanjutnya.

Maka secara langsung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga dapat meningkatkan kesedaran komuniti terhadap penjagaan kesihatan dan disamping itu, ia dapat memberikan pendedahan kepada para jururawat pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) kepada projek kemasyarakatan, tambahnya lagi.

Menurut beliau lagi “Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) merupakan penyebab utama kematian di negara ini pada tahun 2017 di mana penyakit jantung iskemia merupakan penyumbang utama diikuti oleh penyakit cerebrovascular dan kanser paru-paru.

Menteri Kesihatan menziarahi salah sebuah rumah di Kg Bukit Kuching bersama pelatih ILKKM

Menteri Kesihatan menziarahi salah sebuah rumah di Kg Bukit Kuching bersama pelatih ILKKM

Dzulkeply berkata Kementerian Kesihatan Malaysia ada menjalankan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan atau National Health and Morbidity Survey (NHMS) setiap 5 tahun dan hasil tinjauan yang terkini mendapati bahawa tahap faktor risiko dan penyakit tidak berjangkit di Malaysia berada di tahap membimbangkan di mana terdapat peningkatan dalam peratus dewasa yang mengidap penyakit kencing manis dan mempunyai hipertensi kekal tinggi.

Menurutnya lagi “turut merisaukan Kementerian Kesihatan Malaysia, kajian yang dijalankan pada tahun 2011 mendapati, 50% daripada kes tekanan darah tinggi dan kencing manis ini tidak menyedari yang mereka menghidap penyakit-penyakit ini”

“Keadaan ini mendedahkan mereka kepada komplikasi kerana tidak mendapat rawatan awal yang mengakibatkan peningkatan kos perawatan yang mana selain merawat kes yang sudah teruk, kita juga terpaksa merawat komplikasi yang berkaitan” tambah beliau.

Di Selangor sendiri, pada tahun 2011, 49% penduduk dewasa di negeri ini mengalami masalah kegemukan dan obesiti, 26% pendududuk dewasa dikesan mempunyai penyakit darah tinggi dan 16% mempunyai penyakit kencing manis.

Melalui program ini, pelatih-pelatih ILKKM akan bergerak dari rumah ke rumah untuk mengadakan saringan kesihatan asas iaitu tekanan darah, bacaan aras gula dalam darah dan pengiraan indeks jisim badan (BMI) serta nasihat penjagaan gigi.

Program ini telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 24 Februari 2019 di Parlimen Langkawi dan hari ini Parlimen Kuala Selangor menjadi destinasi kedua pelaksanaannya. Hari ini, seramai 550 orang pelatih telah dibawa dari ILKKM Sungai Buloh dan ILKKM Kuala Lumpur.

Mereka akan bergerak dalam kumpulan kecil di tiga buah kampung iaitu Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kuching dan Kampung Bukit Cherakah. Pemilihan ketiga-tiga kampung ini adalah sebagai simbolik bagi mewakili tiga kawasan Dewan Undangan Negeri yang terdapat di dalam Parlimen Kuala Selangor iaitu DUN Ijok, DUN Bukit Melawati dan DUN Jeram.

Menteri Kesihatan turut menziarahi 6 buah rumah di dalam parlimen Kuala Selangor bersama-sama pelatih ILKKM.

Turut hadir dalam program ini adalah, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min; ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad, ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli dan ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

-NAZ

Tinggalkan komen anda