Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

‘Jom Berambeh’ Praktikal Akademik Pelajar SPL

By 16 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto:  Robin Junang /Siti Fairuz Ngatenan (Sarawak)

KUCHING, 16 Apr (Malaysiaaktif) – Latihan secara praktikal merupakan satu keadah penting untuk mengukur pencapaian serta memberi pendedahan kepada pelajar agar berupaya menghadapi situasi sebenar apabila berada di alam pekerjaan mahupun mengusaha perniagaan sendiri.

Bagi mencapai matlamat kurikulum pembelajaran, seramai 26 pelajar Sijil Pelancongan dan Pengembaraan (SPL), Kolej Komuniti Kuching telah mengikuti Program Jom Berambeh ke Malaya anjuran Unit Pelancongan dan Pengembaraan baru-baru ini.

Program ini merupakan projek akhir pelajar SPL yang diadakan khusus untuk memberi pendedahan tentang pembangunan pakej pelancongan yang sebenar melibatkan kawasan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka.

Pelajar sedang mendengar taklimat Heritage Trail oleh DBKL

Pelajar sedang mendengar taklimat Heritage Trail oleh DBKL

Objektif Program Jom Berambeh ke Malaya adalah untuk melahirkan pelajar yang peka dengan produk dan perkhidmatan pelancongan serta bidang kerjaya yang luas di dalam sektor tersebut. Selain itu, ia juga bertujuan melahirkan generasi usahawan dan memahami konsep pengendalian industri pelancongan untuk dpraktikan di Sarawak.

Penasihat Utama Program Nurul Dafiqah Kamarulzaman berkata, “program ini diharap dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang situasi  sebenar proses mengendalikan lawatan, meningkatkan kemahiran pelajar berkaitan perkhidmatan pelanggan dalam industri pelancongan.”

“Seterusnya, program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran aktiviti rekreasi dan seterusnya melahirkan penggiat rekreasi yang berketrampilan dalam industri pelancongan mengikut standard yang ditetapkan”, ujar beliau.

Lawatan selama empat  hari tiga  malam melibatkan pelajar secara langsung bagi membangunkan pakej pelancongan dan menyusun atur cara melalui bimbingan Nurul Dafiqah Kamarulzaman.  Selain itu, pelajar juga bertanggungjawab membuat tempahan dan berurusan dengan vendor pelancongan bagi melengkapkan pakej lawatan mereka.

Pelajar mendengar taklimat keselamatan sebelum memulakan aktiviti di Sky Trex Adventure

Pelajar mendengar taklimat keselamatan sebelum memulakan aktiviti di Sky Trex Adventure

“Keutamaan yang diperlukan dalam program ini semestinya peluang untuk mengaplikasikan kurikulum yang dipelajari di dalam kelas diterjemah ke dunia sebenar dan pelajar boleh mempelajari secara “hands-on” melalui siri lawatan ke lokasi-lokasi pelancongan seperti ini,” tambah Nurul lagi.

Pada hari pertama lawatan, pelajar di bawa ke sekitar Kuala Lumpur dan Selangor antaranya Heritage Trail bersama DBKL, melawat Malaysia Tourism Center (MATIC), KLCC dan Batu Caves.  Pelajar juga berpeluang merasai pengalaman menaiki Hop on-Hop off, LRT dan MRT untuk ke lokasi-lokasi lawatan.

Pelajar bergambar di bangunan bersejarah Kota A Famosa

Pelajar bergambar di bangunan bersejarah Kota A Famosa

Manakala pada hari kedua, pelajar di bawa ke Melaka untuk melawat tempat-tempat bersejarah dan mengenali budaya masyarakat setempat selaras dengan subjek yang dipelajari iaitu Budaya Pelancongan.

Pada hari terakhir, pelajar diberi kesempatan untuk menyertai aktiviti cabaran di Sky Trex Adventure di mana ia menguji ketahanan fizikal dan mental pelajar dalam menyelesaikan cabaran yang diperlukan.

Hadir sama mengiringi pelajar ke program tersebut adalah Ketua Program SPL, Mervin Gumba Sigai serta pensyarah Emaria Ahmad dan Alinda Minsion.

Tinggalkan komen anda