Skip to main content
HomeViral

Wanita OKU Jual Tisu Nafi Dirinya Menipu Buta

By 11 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

JOHOR BAHRU, 11 Jan — Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) Noraslinda Rajoni, 42, menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengatakan dirinya menipu menjadi buta dan mengaut keuntungan hasil jualan tisu di sekitar bandar raya ini.

Katanya dia memang dilahirkan cacat penglihatan kategori B2 (rabun teruk) dan mata kanannya buta sepenuhnya manakala mata kirinya hanya boleh melihat warna yang terang.

“Saya mempunyai masalah penglihatan sejak dilahirkan, arwah ayah saya Rajuni @Rajimin Moin, 70, dan ibu, Asiah Mahmod, 67, memang OKU yang mempunyai masalah penglihatan.

“Kalau nak kata saya menipu buta itu adalah fitnah kerana saya ada kad OKU dan saya tidak menipu orang ramai dengan meminta sedekah sebaliknya menjual tisu yang saya beli dengan modal lebih RM500,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Berikutan kejadian itu, dia kini tidak keluar bekerja menjual tisu kerana bimbang atas keselamatannya setelah dihina, dicaci malah ada yang mengugut ingin mencucuk matanya.

“Saya sekarang tidak berani hendak berdepan dengan masyarakat, saya pernah dipukul dari arah belakang dan dicaci ketika saya menjual tisu.

“Kesan ini bukan saya seorang yang terima tetapi semua kawan OKU saya yang buta dan rabun yang bekerja sebagai penjual tisu kini dianggap penipu oleh masyarakat sedangkan kami memang bekerja dan itu memang hasil mata pencarian kami,” katanya yang bergantung sepenuhnya pada hasil pendapatan menjual tisu.

Mengenai dakwaan bahawa dia mengaut keuntungan hasil menjual tisu, Noraslinda mengakui ada memasukkan wang berjumlah RM14,000 ke dalam akaun miliknya di sebuah bank di Bandar Baru Uda di sini pada 30 Dis tahun lalu, namun wang itu semua bukanlah miliknya.

“Duit saya hanya RM3,000 sahaja selebihnya adalah duit anak kedua saya yang juga menjual tisu serta duit kawan-kawan OKU yang turut menumpang menyimpan duit dalam akaun saya,” jelasnya.

Ibu kepada empat orang anak itu turut memiliki tiga anak yang cacat penglihatan iaitu Mohamad Adzmierul Izwan Jafri, 23, Siti Nor Amyliya Natasha Jafri, 20, dan Nur Shazlin Fatihah Shamsol Azli, 13, manakala anak sulungnya Mohamad Adzmierul Aizat Jafri, 25, normal dan bekerja sebagai anggota tentera.

Dalam pada itu, Siti Nor Amyliya Natasha yang kini sedang menuntut di Kolej Perkembangan Awal Kanak-kanak (KPAKK) Damansara Damai, Selangor berkata berikutan insiden itu, dia tidak dapat hadir ke kolej kerana ingin menjaga ibunya.

“Anak mana tidak risau kalau ibunya diugut hendak dicucuk mata oleh orang? Jadi untuk seminggu ini saya tidak pergi ke kolej dahulu untuk menjaga ibu saya dan tunggu sehingga perkara ini selesai,” katanya.

Tambahnya, dia yang juga mempunyai masalah penglihatan, kini takut hendak keluar berjumpa dengan masyarakat berikutan ancaman di media sosial yang dilontarkan oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan (Perkum) Malaysia Mohammad Faiz Asangku Abdullah berkata pihaknya kini sedang dalam proses meminta khidmat nasihat guaman bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap kakitangan bank yang menyebarkan butiran peribadi mangsa.

“Kita sangat kesal dengan tindakan individu tersebut sebab ia bukan etika kerja yang betul, kalau dia rasa mangsa menipu, boleh laporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Bahru,” katanya.

Gambar seorang wanita mengutip derma di Dataran Bandaraya di sini serta memasukkan sejumlah wang didakwa hasil kutipan meminta sedekah menjadi tular di laman sosial baru-baru ini sehingga menimbulkan kemarahan netizen.

 

— Bernama 

Tinggalkan komen anda