Dimsum Halal – Berkongsi Rasa, Merentas Budaya

1 (1)

Laporan oleh: Fauzrina Bulka

Foto oleh: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 13 FEB. (Malaysiaaktif) –  Dimsum merupakan makanan tradisi kaum Cina, mempunyai pelbagai rasa dan gabungan inti, disalut dengan kepingan kulit nipis dan dibentuk pelbagai rupa yang menarik.

Hidangan ini biasanya diperbuat daripada isi ikan, udang, ayam, daging dan sayur-sayuran, dihidang dalam bakul pengukus atau pinggan kecil enak dinikmati bersama teh Cina.

Dengan percampuran pelbagai kaum di negara ini, untungnya kita dapat berkongsi rasa bukan sahaja keindahan tradisi, adat resam dan pakaian, malahan makanan yang diwarisi sejak berzaman.

Pengusaha produk dimsum halal jenama Zulsari, Sarimah Idris, 51 sememangnya sudah lama menggemari makanan ini dan lebih seronok apabila kegemarannya itu dikongsi bersama suami dan empat orang anak.

Sarimah bangga dapat menghasilkan produk halal pada penggemar dimsum.

Sarimah bangga dapat menghasilkan produk halal pada penggemar dimsum.

“Pernah satu ketika kami menghadiri perkahwinan anak saudara dan kebetulan ada keluarga Cina datang membawa dimsum yang dibuat khas untuk keluarga pengantin.

“Disebabkan dimsum kegemaran saya, saya pun mengambil kesempatan merisik tuan punya badan kalau dia boleh mengajar cara membuat dimsum dan syukur dia setuju.

“Kelas sehari itu kami habiskan dengan belajar dua jenis dimsum sahaja, kemudian menu yang lain kami olah mengikut kreativiti sendiri dan belajar di google,” jelas sarimah.

Namun begitu menurut Sarimah, untuk kulit dimsum pula mereka tidak mampu menghasilkannya sendiri kerana tidak mempunyai mesin khas untuk melakukannya.

“Setakat ini mesin-mesin yang ada hanya untuk memproses inti sahaja, atas faktor kekurangan kakitangan juga, kami hanya mengambil bekalan kulit daripada kilang.

“Kalau mula-mula dulu kami buat satu hingga dua kilogram saja, lagipun modal awal kami hanya RM300, tapi kini setiap hari kami akan buat kira-kira 50 ke 100 pek, yang mana setiap pek mengandungi 12 biji dimsum.

“Apabila permintaan sudah meningkat, kami memohon pinjaman peribadi untuk membangunkan sebuah premis khusus untuk pemprosesan dimsum dan untuk menempatkan semua mesin dan peti sejuk beku,” ujarnya.

Dicicah dengan sos khas menambah rasa pada yang sukakan pedas.

Dicicah dengan sos khas menambah rasa pada yang sukakan pedas.

Menurut Sarimah, mereka menetapkan garis panduan yang ketat untuk menjaga kualiti dan kebersihan produknya dengan memastikan kawasan operasi sentiasa bersih sebelum dan selepas bekerja.

“Untuk pemprosesan dan sukatan inti hanya anak dan suami sahaja yang lakukan, bahan mentah perlu betul-betul bersih sebelum dihancurkan dan sentiasa pastikan tiada serangga atau haiwan lain masuk ke dalam kilang.

“Dua orang pekerja kami hanya lakukan proses membungkus dan mencampurkan bahan-bahan yang patut dalam setiap campuran, tetapi resipi asal kami tidak kongsi, sukatan sebenar pun hanya anak dan suami sahaja yang tahu.

“Staf kami pun diwajibkan memakai tudung pada waktu bekerja, syukur anak-anak banyak membantu dalam pengurusan kilang, staf dan jualan manakala saya hanya ambil tahu mengenai jualan,” katanya.

Tambahnya, selok belok pentadbiran perniagaan banyak di pelajari melalui kursus-kursus yang dihadiri anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID).

Mula berniaga sejak tiga tahun lepas, produk mereka sudah mempunyai 10 pilihan menu yang turut digemari oleh kaum cina.

“Ramai juga pelanggan kami orang Cina, mereka suka makanan Melayu kerana halal, agak lucu apabila ada juga yang bertanya samada dimsum kami halal atau tidak walaupun sudah tahu penjualnya Melayu dan bertudung.

“Ramai juga yang memborong dimsum ini untuk dihidangkan semasa kenduri dan majlis-majlis rasmi, ada juga yang jual semula di kedai masing-masing dan bawa balik hingga ke Brunei dan Arab Saudi,” katanya.

Pelanggan yang membeli secara borong tidak perlu risau jangka hayat produk Zulsari kerana telah melalui rujukan daripada Institut Kemajuan Dan Penyelidikan Pertanian Malaysia(MARDI).

Menurut MARDI, ianya boleh bertahan selama enam bulan selepas pembungkusan kerana dibuat dengan bahan segar tanpa bahan pengawet dan disimpan dalam suhu 180 darjah Celsius.

Tambah Sarimah, dalam menjalani kehidupan yang saling berkongsi bersama kaum lain, kita harus pandai mengambil kesempatan untuk belajar dan berkongsi ilmu dengan mereka.

“Semua orang boleh belajar, tidak kisah daripada kaum apa pun, kerana terbukti melalui makanan juga dapat mengeratkan kemesraan dan perpaduan antara kaum.

“Apa yang penting kita bersatu padu, tidak berprasangka buruk dan tidak lokek dengan ilmu yang ada, kalau kaum Cina boleh buat nasi lemak, apa salahnya Melayu buat dimsum atau moon cake kan?,”ujarnya ketika ditemui di gerainya yang dibuka sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Karamunsing pada Isnin.

 

M Hamdi kini tidak ragu-ragu membeli dimsum kegemarannya.

M Hamdi kini tidak ragu-ragu membeli dimsum kegemarannya.

 Dalam pada itu, salah seorang pelanggan, M. Hamdi M. Ismadi, 28 gembira apabila mendapat tahu adanya dimsum halal yang diusahakan oleh orang Melayu.

“Sebelum ini saya hanya sering membeli dimsum ini di kedai-kedai makanan tetapi seperti yang kita sedia maklum harga untuk satu set dimsum agak mahal.

“Ditambah lagi dengan status halalnya ada kalanya membuatkan kita berasa waswas untuk membeli, jadi dengan adanya produk buatan Melayu ini akan membantu kita sebagai pengguna Islam untuk tidak merasa ragu-ragu,”katanya.

Seorang lagi pelanggan tetap dimsum Zulsari, Wan Sariffa Wan Ibrahim, 50 mengakui telah lebih setahun membeli dimsum daripada Sarimah sama ada untuk dibawa balik makan di rumah ataupun untuk majlis rasmi di pejabat.

 

Sarimah (kanan) melayani Wan Sariffa (dua dari kanan) ketika mengunjungi gerainya.

Sarimah (kanan) melayani Wan Sariffa (dua dari kanan) ketika mengunjungi gerainya.

“Dimsum Sarimah ini banyak pilihan, dan rata-rata rasanya sesuai dengan selera saya kerana ada sesetengah produk yang lain mungkin hanya satu atau dua menu sahaja yang sedap.

“Apa yang penting ia ditanggung halal kerana dibuat oleh orang Melayu sendiri, dan suami saya memang peminat nombor satu dimsum, lagipun ia sesuai dimakan pada yang ingin diet kerana kita akan cepat kenyang.

“Harga yang murah juga salah satu faktor yang membuatkan pelanggan tertarik untuk mencuba dimsum ini kerana kebanyakan harga yang dijual di luar agak mahal untuk satu set,”jelasnya.

 

-MRR

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...