Skip to main content
Home

PAS Bakal Terima Padah Jika Sabotaj Calon Pakatan Rakyat

By 24 April 2015Tiada komen4 minit bacaan

PAS akan tewas untuk Jangka Masa panjang, jika? PAS bakal menerima padah jangka masa panjang sekiranya parti Islam tersebut berhasrat mensabotaj dan tidak menyokong calon Pakatan Rakyat (PR) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, ramal penganalisis.

Di peringkat akar umbi, PAS Permatang Pauh secara terbuka menolak Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon, malah Dewan Pemuda PAS negeri juga dilihat enggan bekerjasama dalam kempen PRK kali ini.

Bagaimanapun, penyelidik Dr Bridget Welsh melihat sikap yang disifatkannya keras kepala tersebut akan mengundang padah kepada PAS dan berkata, parti itu bakal kehilangan banyak tempat lagi jika berterusan dengan pendirian provokasi sedemikian.

“Jika PAS gagal memberi sokongan dan terlibat dalam sabotaj, perkara ini tidak akan dilupakan,” kata penyelidik bersekutu kanan di Center for East Asia Democratic Studies, Universiti Kebangsaan Taiwan itu.

“Mereka boleh ucapkan selamat tinggal dengan harapan menang kerusi di Pulau Pinang dan kerusi lain. Ini akan menjadikan PAS sebagai ‘loser’ (pihak yang tewas) untuk jangka masa panjang, hilang sokongan golongan muda Melayu dan menghakis kredibiliti mereka,” katanya.

Beliau berkata, lebih buruk lagi, PAS akan dilihat seolah-olah bersekongkol dengan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab menyumbat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara.

“Ia secara jelas menunjukkan mereka menyokong tindakan kerajaan BN ke atas Anwar dengan tidak membantu dalam pertandingan ini,” katanya.

Perpecahan dalam PR disebabkan perbezaan pendapat dalam isu hudud, kata Welsh, tetapi jika PAS membuat keputusan berkecuali di Permatang Pauh, maka ia sepatutnya dipersalahkan dalam kemelut melanda gabungan pembangkang tersebut.

“Pembangkang secara keseluruhannya tewas kerana tumpuannya kepada isu hudud. “Tetapi PAS Pulang Pinang ialah ‘main loser’ (pihak utama yang tewas) kerana isu hudud ialah simbolik kepada amalan tidak Islamik parti tersebut yang dilihat tamak, menipu dan pentingkan diri dengan memilih jalan kemusnahan ke arah memecahbelahkan negara, menghancurkan Perlembagaan Persekutuan dan banyak lagi,” katanya.

Penyelidik itu berkata, PAS akan cuba menunjukkan kekurangan sokongan yang dijangkakan itu disebabkan pihak lain, tetapi ia sebenarnya merupakan tanggungjawab bersama, termasuk DAP dan PKR. “Jika PAS pilih berkecuali di Permatang Pauh, maka mereka yang akan dipersalahkan,” kata Welsh, yang juga penyunting buku ‘Bangkit – Tempoh Pentadbiran Abdullah Badawi di Malaysia’.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Dr James Chin, tidak menolak PKR mungkin tewas di Permatang Pauh, walaupun kerusi Parlimen tersebut dianggap kubu kuat, jika wujud sabotaj daripada parti Islam tersebut. “PKR pasti menang, melainkan PAS sabotaj. Majoriti mungkin kurang, bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar,” kata pengarah Institut Asia Universiti Tasmania itu.

Chin melihat kerjasama antara PKR dan DAP masih memadai untuk membawa kemenangan kepada PR, tetapi perkiraan tersebut mungkin bertukar jika PAS aktif meneruskan kempen sabotajnya.

Perpecahan dalam gabungan tersebut dilihat jelas semasa majlis pelancaran jentera PKR bagi PRK itu pada 14 April yang tidak dihadiri pemimpin tertinggi PAS Pusat. PAS hanya diwakili Ketua Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Dr Mujahid Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man walaupun parti sekutu lain diwakili pemimpin atasan mereka.

Walaupun Permatang Pauh dilihat kubu kuat PKR, Dr Azizuddin Mohd Sani berkata PAS masih mempunyai pengaruh kuat dalam menentukan keputusan pilihan raya, terutamanya di kawasan yang mempunyai ramai penyokong parti itu.

“Kubang Semang diketahui sebagai kubu PAS dan pengurangan undi mungkin akan berlaku di kerusi tersebut,” kata penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia itu. Sementara itu, Welsh berkata, beliau menganggap Dr Wan Azizah bukan sebagai ‘jambatan’ untuk PR tetapi sebaliknya ‘gam’ yang menyatukan PKR. Dan, katanya PRK kali ini bukan pengakhiran kepada semua episod perbalahan di dalam PR, tetapi yang lebih memainkan peranan sebagai penentu ialah pemilihan PAS akan datang pada muktamar Jun ini.

“PRK ini ujian untuk semua, tapi bukan sesuatu yang muktamad untuk pembangkang secara keseluruhannya, kerana pemilihan PAS lebih penting,” katanya.

Kerusi Permatang Pauh kosong selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Keputusan itu sekali gus melucutkan kelayakan Anwar sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya sejak 2008 berikutan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang anggota Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000.

 

— TMI

Tinggalkan komen anda