Skip to main content
HomeKolumnis

‘Endorsement’ Abdul Hadi Belum Mampu Reda Keresahan

By 13 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Aziz AS

KUALA LUMPUR , 13 Mei (Malaysiaaktif) – Sokongan terbuka Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin masih tidak mampu meredakan keresahan berhubung ‘krisis’antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Apa yang diluahkan Abdul Hadi merupakan sesuatu yang perlu diperkatakan sebagai seorang yang matang dalam politik.

Yang pasti, bagi yang dapat berfikir secara waras dan berhemah, Abdul Hadi sekadar berkata Najib perlu diberi ruang untuk menghabiskan penggalnya, atau setidak-tidak pun dibenarkan untuk menyelesaikan pelbagai kemelut yang dihadapi.

Ini kerana Najib menjadi Perdana Menteri menerusi saluran dan prosedur demokrasi yang betul. Dia bukan memegang posisi itu secara paksa dan melalui prosedur yang pincang.

Namun demikian, seperti Mahathir yang tidak lama dahulu berkata beliau keseorangan dalam kancah masalah membabitkan Najib, 1MDB dan lain-lain, Abdul Hadi juga keseorangan kerana rata-rata dalam PAS tidak ada pun tokoh lain yang memberikan sokongan kepada Najib. Kalau pun ada, impaknya tidak seberapa.

Bagi puak yang tegar berpegang kepada premis bahawa Najib perlu berundur, kenyataan Abdul hadi itu muncul sebagai satu sentakan minda untuk mengembalikan kedewasaan dan kewarasan dalam meninjau senario terkini politik tanah air.

Dalam suasana ‘mentaliti berkumpulan’ yang tercetus berikutan desakan  supaya Najib berundur, mungkin tidak ramai yang mampu berfikir secara rasional berpandukan perlembagaan dan pertimbangan etika bahawa yang boleh mempengaruhi Najib berundur hanyalah proses demokratik yang sihat.

Apa pun, Abdul Hadi sekadar meluahkan sesuatu yang perlu diperkatakan, tetapi isu yang dihadapi masih tidak mampu diselesaikan.

Hanya masa akan menentukan, dan bagi penentuan itu Najib perlu diberikan ruang.

-MALAYSIAAKTIF

 

 

Tinggalkan komen anda