Skip to main content
HomeKolumnisRencana & PendapatViral

‘Game Change’ Dalaman PAS Menyulitkan Calon

By 25 Mei 2015Tiada komen5 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Kumpulan pro-ulama meminta perwakilan PAS mengundi secara blok untuk mengisi tiga jawatan Naib Presiden dengan pasukan baru.

Ramai ahli PAS sedar bahawa Datuk Mahfuz Omar nampaknya telah menukar rentak sejak seminggu lalu.

Jika dahulunya beliau begitu mesra dengan DAP, sekarang beliau mengutuk para pemimpin DAP kerana menyerang presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang.

Apa yang menyebabkan beliau bertukar hati dalam sekelip mata? Sesetengah pemerhati politik menyifatkan karakter sesumpahnya itu bukan berdasar kesetiaan tetapi lebih kepada strategi meraih jawatan.

Mahfuz sedang bergelut untuk memenangi satu daripada tiga jawatan naib presiden. Beliau sudah akur dengan keperluan untuk menunggang sentimen pro-Hadi yang bertiup dalam PAS dan mengetepikan persahabatan dengan DAP.

Beliau nampaknya sedar tahap kemarahan akar umbi PAS berhubung cara setiausaha agung DAP Lim Guan Eng menyerang presiden mereka – sesuatu yang dianggap biadab dan berbahaya.

Serangan DAP telah memakan diri dan para pemimpin PAS yang dilihat sebagai terlalu mesra dengan DAP mungkin mendapati diri mereka ditolak pada pemilihan parti minggu depan.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, telah cuba bermacam-macam cara untuk meraih undi, termasuk cuba menjuarai isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Beliau akan berhadapan dengan beberapa nama hebat yang kesemuanya lebih tinggi dari segi intelektual berbanding dirinya sendiri. Bagaimana pun, ada kelebihan dalam dirinya yang tidak dimiliki mereka – gaya persembahan.

Enam orang calon bersaing untuk merebut tiga jawatan naib presiden dan di tahap ini bukan lagi rahsia bahawa ketiga-tiga mereka condong kepada puak pro-ulama.

Mereka ialah Idris Ahmad (Bukit Gantang MP), Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (Timbalan Menteri Besar Kelantan) dan Datuk Iskandar Samad (Exco Selangor).

Kali ini pendekatan puak pro-ulama sangat strategik dan tersusun. Mereka didorong angkatan muda yang mahu melihat PAS kembali kepada matlamat asal Islam.  Untuk menzahirkan matlamat itu, mereka mahu puak ulama menang besar.

Idris seorang yang lantang dengan gaya pidato berapi-api. Dia mampu membakar semangat dan mempengaruhi hadirin dengan mudah. Beliau memperoleh pencalonan paling banyak – sekitar 106 daripada 130 bahagian yang mengemukakan nama untuk jawatan naib presiden.

Sebagai bekas pensyarah universiti, ‘rating’ beliau sentiasa tinggi dan mengatasi barisan jawatankuasa pusat PAS semasa pemilihan parti sebelum ini.

Kehadiran Mohd Amar dan Iskandar pula adalah atas alasan bahawa Kelantan dan Selangor, di mana parti itu berkuasa, mesti diwakili oleh naib presiden.

Mohd Amar yang terakhir mengesahkan pencalonannya, secara bergurau berkata bahawa beliau sedang menunggu untuk melihat ‘anak bulan’.

Kelmarin, ketika dihubungi, beliau berkata “Saya tidak berkempen. Saya di rumah. Semua calon adalah kawan saya.”

Profil Nik Amar meningkat selepas beliau menjadi ketua jurucakap mengenai rang undang-undang Hudud Kelantan.

Beliau dahulunya agak pemalu apabila berhadapan dengan media, tetapi sekarang muncul  berani berterus terang dan berhadapan dengan media.

Iskandar pula merupakan wajah profesional dalam kumpulan pro-ulama. Dia mudah bekerjasama secara berpasukan dan dipercayai pernah menolak apabila ditawarkan jawatan Menteri Besar Selangor sewaktu kemuncak perebutan kuasa PKR di negeri itu. Istana dikatakan kagum kerana beliau menunjukkan pegangan prinsip yang kuat dan bukan kerakusan untuk mendapatkan kuasa. Beliau juga dianugerahkan gelaran Datuk oleh Sultan.

Satu-satu masalah yang dihadapi, beliau tidak mempunyai imej nasional. Namun demikian tidak kurang yang berpendapat beliau akan berjaya kerana kumpulan pro-ulama meminta perwakilan mengundi secara blok atau mengikut ‘tata cara’ tertentu.

Mahfuz telah dilonggokkan dengan apa yang dikenali sebagai kumpulan profesional, termasuk ADUN Salor Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub dari Johor – kedua-duanya penyandang jawatan naib presiden.

Salahuddin yang sudah memasuki penggal ketiga terkenal dengan perawakan yang ceria dan pendekatan berdiplomasi. Bagaimana pun, karier beliau menjunam setelah kalah pada pilihan raya umum yang lepas.

Dengar khabar beliau berjaya memperoleh jumlah pencalonan kedua tertinggi untuk jawatan naib presiden, tetapi memberitahu kawan-kawannya bahawa perjalanan amat sukar kerana ‘permainan sudah berubah.”

Di masa lalu Salahuddin sering kali menerima pencalonan paling banyak, tetapi apa pun beliau telah kehilangan status ‘anak emas’ kepada Idris. Beliau tidak memperoleh sebarang pencalonan dari Terengganu, di mana kumpulan pro-ulama berkuasa.

Dahulunya kekuatan beliau adalah kerana beliau diterima oleh kedua-dua pihak, tetapi senario sekarang memerlukan seseorang bersama kumpulan pro-ulama atau akan dianggap condong ke sebelah bertentangan.

Salahuddin berkata beliau bukan seorang ‘Anwarina”, tetapi sebaliknya beliau seorang “Tok Guru-rina” dan menyokong kepimpinan ulama.

Bagi Husam pula, satu tanda tanya yang besar timbul mengenai masa depannya. Hanya beliau seorang dicalonkan untuk jawatan presiden, timbalan presiden dan naib presiden.

Dulunya bagaikan bintang yang terang, Husam kini seolah-olah terawang-awang selepas kematian Datuk Nik Aziz Nik Mat. Beliau juga sentiasa diserang di Internet dan dituduh menyokong Pasma, kumpulan yang di cop sebagai pengkhianat parti.

Walaupun tidak banyak bukti pembabitan beliau, namun dakwaan tersebut masih kekal kerana beliau tidak berminat untuk mempertahankan diri.

Dalam pada itu, kumpulan profesional menaruh harapan agar para pemimpin DAP akan tutup mulut, kerana setiap kali mereka bersuara menyerang Hadi bermakna lebih banyak undi akan diberikan kepada kumpulan pro-ulama.

 

Tinggalkan komen anda