
KUALA TERENGGANU, 25 Mei (Malaysiaaktif) — Pemandu lori yang menyebabkan empat sekeluarga maut dalam nahas di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT 2) di Hulu Terengganu semalam, direman empat hari bagi membantu siasatan.
Pemandu lori yang berusia 35 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi. Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.
Sementara itu, saringan air kencing ke atas pemandu lori itu didapati negatif.
Nahas membabitkan sebuah lori 10 tan itu berlaku apabila lori berkenaan dikatakan mengalami kerosakan dan terbabas ke penghadang jalan lalu merempuh sebuah kereta yang berada di lorong kecemasan.
Rempuhan kuat mengakibatkan geseran dan tumpahan minyak sehingga berlaku kebakaran.
Enam mangsa yang berada di dalam kereta terperangkap dan empat daripada mereka rentung, manakala dua lagi dilapor mengalami kecederaan.
Kejadian berlaku di kilometer 386.6, LPT2 dekat Ajil.