Skip to main content
HomeKolumnisViral

Masalah Terbaharu Rohingya: Di Mana Gigi ASEAN?

By 15 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Aziz AS

MALAYSIAAKTIF — Kini Malaysia berhadapan dengan masalah pendatang tanpa izin (PATI) Rohingya yang mencurah masuk dari Myanmar.

Ini berlaku hanya beberapa dekad selepas lebih dua juta orang pendatang tanpa izin (Boat People) dari Vietnam dengan tidak sengaja menjulang nama negara ke persada dunia di atas  sebab-sebab yang tidak boleh dibanggakan.

Berbalik kepada masalah PATI dari Rohingya, rata-rata jari-jari dunia menuding ke arah Malaysia dengan pelbagai andaian dan tuduhan, daripada sikap tidak berperikemanusiaan hingga kepada kononnya melanggar ‘konvensyen’ antarabangsa berhubung pelarian.

Tanpa menghalusi dasar-dasar terperinci yang menyebabkan keadaan ini terus berlaku di Myanmar, walaupun kita kononya sudah bersikap terbuka dalam menangani hak asasi manusia, namun terang-terangan penderitaan berpaksi kepada hak asasi menonjolkan diri dalam bentuk masalah masyarakat PATI Rohingya yang mendapat tempat dalam media sejak beberapa hari lalu.

Menghadapi cabaran ini, apakah bentuk inisiatif proaktif dan segera Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2015 ke arah menyelesaikan tragedi kemanusiaan yang menghimpit masyarakat Rohingya sejak sekian lama?

Apakah Malaysia akan terus mengambil pendirian berkecuali seperti mana negara-negara anggota lain sejak beberapa tahun dahulu di atas alasan tidak mahu campur tangan dalam masalah dalaman sesebuah negara ASEAN?

Kita perlu sedar bahawa dunia sudah berubah dan sempadan kebangsaan dan kenegaraan bukan lagi pemisah. Sampai bila pendirian tidak mahu campur tangan perlu dipegang, memandangkan konflik dalam sesebuah negara anggota juga memberi impak kepada negara-negara anggota lain, seperti kes PATI Rohingya ini?

 

 

Tinggalkan komen anda