
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Malaysiaaktif) — Sektor keusahawanan sosial di negara ini akan melalui transformasi radikal menerusi pelaksanaan Pelan Induk Keusahawanan Sosial Malaysia hari ini.
Sasaran diletakkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membina rangkaian lebih seribu usahawan sosial di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun, berbanding hanya 100 usahawan sosial ketika ini.
Datuk Seri Najib bercakap dalam ucaptama merasmikan pelan induk keusahawanan sosial di Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia, ‘MAGIC’ di Cyberjaya pada Khamis.
Jelas beliau keusahawanan sosial diasaskan lebih dua dekad lalu bagi memberi penekanan kepada isu sosial dalam bidang perniagaan.
Pelan Induk terkandung tiga bidang utama, antaranya membina usahawan sosial berjaya supaya dapat menjadi sumber inspirasi, selain mewujudkan ekosistem bagi memastikan golongan ini berjaya.
Pelan turut menyentuh soal peraturan, cukai dan pentadbiran untuk memastikan kelangsungan sektor ini.
Perdana Menteri turut menyatakan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia hub global untuk aktiviti sosial dan kesukarelawan.
Kementerian kewangan diminta merangka fasa seterusnya program kesukarelawan sosial antarabangsa, VIP, yang dilancarkan Januari lalu.