Skip to main content
Home

SPP Disaran Laksana Penilaian Siasah Diri Melalui Psikometrik

By 13 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

MIRI, 13 Mei — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu mencadangkan ujian psikometrik sebagai satu daripada syarat untuk pelantikan guru baharu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, cadangan syarat baharu itu ialah bagi memastikan golongan pendidik yang lebih berkualiti bukan sahaja memiliki keputusan cemerlang dalam pendidikan peringkat ijazah pertama tetapi aspek spiritual yang sihat dan positif.

“Saya ingin menyarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mengadakan penilaian sahsiah diri melalui ujian psikometrik kepada semua graduan perguruan sebagai satu tapisan permulaan proses pelantikan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2015 di sini Rabu malam.

Muhyiddin berkata, sebelum ini kemasukan untuk program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) telah diperketatkan dengan calon perlu mendapat keputusan lima cemerlang dalam peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk layak dipanggil menjalani Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) dan tujuh cemerlang untuk mengikuti Program Pelajar Cemerlang (PPC).

Beliau berkata, dengan adanya syarat baharu tersebut calon PISMP dan PPC menamatkan pengajian dengan displin ilmu yang tinggi melibatkan aspek fizikal dan spiritual.

Beliau berkata, mulai tahun lepas sebagai mengiktiraf PISMP cemerlang yang mencapai Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.5 ke atas, tiada proses temu duga untuk pelantikan tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

“Hanya calon-calon yang memperoleh PNGK di bawah 3.5 dan opsyen pengajaran diperlukan Kementerian Pendidikan akan dipanggil temu duga untuk pelantikan tetap PPP,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mahu tenaga pengajar dari Sarawak ditambah bagi menampung kekurangan di politeknik dan kolej komuniti.

“Saya berharap jumlah pengajar dari Sarawak untuk politeknik dan kolej komuniti di negeri ini ditambah,” katanya.

Teks ucapan Adenan dibacakan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda