Skip to main content
HomeViral

Sultan Perak Ringan Hukuman, Ampun Tiga Banduan

By 5 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

KUALA KANGSAR 5 Mei (Malaysiaaktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah menitahkan supaya dua banduan diringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

Baginda turut menitahkan pembebasan  seorang banduan yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dibebaskan lebih awal berkuatkuasa dari tarikh Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa, Sultan Nazrin membentangkan kes 12 rayuan yang dipersembahkan secara terus kepada baginda berhubung 12 banduan yang dikenakan  hukuman penjara 10 bulan bermula dari tarikh 18 Mac 2015 (tarikh pembebasan mereka pada 2 Oktober 2015).

Rayuan mereka bersabit pembabitan dalam perhimpunan haram bawah Seksyen 145 Kanun Keseksaan pada 2009 di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.

Daripada 12 rayuan itu hanya satu dikemukakan sendiri oleh banduan terbabit, sementara yang lain dikemukakan oleh pihak ketiga.

Sultan Nazrin turut menitahkan peringatan dan nasihat bahawa sebarang rayuan daripada mana-mana banduan yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah hendaklah di kemukakan oleh banduan sendiri.

Ini, menurut baginda adalah menurut saluran yang ditetapkan dan bukan dikemukakan oleh pihak ketiga dan tidak juga menggunakan apa-apa saluran lain.

Sultan Nazrin juga menitahkan bahawa sesuatu hukuman yang dijatuhkan adalah bertujuan memberikan pengajaran kepada masyarakat agar undang-undang negara dihormati.

Pengampunan atau meringankan sesuatu hukuman yang diputuskan mahkamah hanya boleh dipertimbangkan apabila banduan ketika mengemukakan rayuan menunjukkan sifat insaf, sedar akan kesalahan yang dilakukan dan mahu memohon maaf serta mengakui akan berkelakuan baik selain tidak mengulangi perkara yang sama.

Tinggalkan komen anda