
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Malaysiaaktif) — Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) meminta syarikat telekomunikasi menurunkan tarif nilai kad pra bayar yang dikenakan kepada pengguna.
Menurut menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, tindakan itu bagi memastikan pengguna mendapat tempoh berbual yang sama atau lebih sepertimana sebelum pelaksanaan GST.
“Saya tidak bertujuan untuk membela syarikat telco, tetapi kita beralih kepada prinsip GST itu sendiri kerana ia mesti ditanggung oleh syarikat, kerana GST ialah cukai kepenggunaan,” katanya.
Beliau berkata baru-baru ini syarikat Mydin menyerap GST, dan jika dahulunya mereka boleh berbuat demikian, sekarang mereka harus teruskan bukan isyarat yang perlu diberikan dalam industri.
Ahmad Shabery berkata mereka perlu diberitahu supaya jangan meraih untung berlebihan, tetapi menurunkan tarif yang ada sekarang supaya mengimbangi GST.
Beliau juga berkata kerajaan meminta agar pengimbangan tarif itu nanti bersesuaian dengan pakej bagi golongan sasar, seperti pelajar, untuk membeli nilai kad pra-bayar.
Ujar beliau, walaupun berlaku kekeliruan mengenai pelaksanaan kadar terbaharu nilai kad pra-bayar, rakyat diminta menunggu tempoh enam bulan seperti mana diumumkan kerajaan sebelum ini.
Ahmad Shabery berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu.