
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Malaysiaaktif /Kemaskini) — Pertandingan separuh akhir Kuiz ASEAN anjuran Jabatan Penerangan Malaysia berlangsung Rabu di Dewan Serbaguna B1, Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya.
Seramai 26 peserta terbaik berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan mereka merupakan antara 6,049 peserta dari seluruh negara yang telah mendaftar secara online bagi kuiz itu yang diadakan sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
Pertandingan menyasarkan belia antara 18 hingga 30 tahun ini berkonsepkan Pengucapan Awam yang membicarakan topik-topik berkenaan ASEAN.
Menurut kenyataan Cawangan Perhubungan Antarabangsa, 10 peserta terbaik akan ke peringkat akhir pada Jumaat ini (22 Mei) di tempat yang sama dengan acara dijangka disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN Malaysia. Turut hadir Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Datuk Haji Ibrahim Abdul Rahman.
Kuiz yang bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran belia akan kebudayaan, politik dan ekonomi ASEAN selain gagasan Komuniti ASEAN, menerima sambutan baik daripada kalangan belia seluruh negara.
Selangor menyaksikan bilangan peserta tertinggi iaitu seramai 925 orang, diikuti Sabah (749), Johor (640), Kelantan (482) dengan Labuan menyaksikan bilangan peserta terendah iaitu seramai 30 orang.
Pemenang pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai, mtrofi, gajet komunikasi dan sijil penyertaan.
Penganjuran kuiz ini turut disokong Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negeri serta agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.