Skip to main content
HomeViral

Terenganu Gagal Ke Final, Penyokong Bertindak Liar

By 17 Mei 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA TERENGGANU, 17 Mei  — Penyokong Terengganu bertindak liar dengan membaling batu ke atas kereta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di luar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini selepas pasukan itu gagal layak ke final Piala FA 2015, Sabtu malam.

Penyokong merusuh selepas perlawanan akibat tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob tidak mengesahkan gol keempat Terengganu menerusi percubaan Ahmad Nordin Alias pada minit ke-89 kerana berada pada kedudukan ofsaid.

Kemenangan 3-2 yang diraih skuad ‘Penyu’ pada perlawanan separuh akhir kedua itu, gagal menghalang wakil Singapura, Lions XII untuk mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan setelah kedua-dua pasukan terikat 4-4 secara agregat.

Sebahagian besar penyokong Terengganu bertindak liar dengan melakukan kerosakan ke atas harta benda awam di stadium dengan memecahkan pintu kaca di laluan masuk selain dilaporkan turut membakar sebuah ambulans yang diletakkan di perkarangan stadium.

Keadaan tersebut memaksa pihak stadium memanggil Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan kira-kira 15,000 penyokong Terengganu yang cuba menimbulkan kekecohan.

Sebuah bas yang membawa penyokong Lions XII turut dirosakkan oleh segelintir penyokong Terengganu yang tidak dapat menerima keputusan perlawanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abdul Rafar yang ditemui pemberita di venue berkenaan, enggan memberikan ulasan lanjut tetapi memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dilakukan mengenai insiden kekecohan itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda