Skip to main content
HomeViral

Jus JenamaTropicana Twister Agih Tiket KTMB Percuma

By 21 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 21 Jun — Pintu B di stesen KL Sentral di sini dibanjiri orang ramai sejak awal pagi ini untuk mendapatkan tiket kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) percuma yang disumbangkan jenama jus nombor satu dunia, Tropicana Twister.

Menerusi kempen tahunan ‘Eratkan Jalinan’ Tropicana yang bermatlamat menghimpun rakyat Malaysia untuk sama-sama menyambut Hari Raya, sejumlah 1,020 tiket kereta api percuma diagihkan untuk perjalanan ke Ipoh, Johor Baharu (JB) Sentral dan Padang Besar.

Pengurus Pemasaran Kumpulan Permanis Sandilands Sdn Bhd T.Santharuban berkata Tropicana memperuntukkan 338 tiket bagi perjalanan dengan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari KL Sentral-Ipoh pada 9 pagi 14 Julai, dan 338 tiket pada 9 pagi 15 Julai.

“Selain itu, sebanyak 172 tiket diperuntukkan ke JB Sentral pada 2.10 petang 15 Julai dan 172 tiket ke Padang Besar pada hari sama berlepas 9.30 pagi,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan tiket berkenaan hari ini.

Beliau berkata untuk mengimbas kembali kenangan pulang ke kampung halaman, Tropicana akan turut mengadakan aktiviti menarik di atas kereta api seperti sesi ‘busking’, permainan mini dan karaoke.

Tropicana akan turut menaja 400 perjalanan dengan teksi percuma menerusi MyTeksi dan lima tiket penerbangan percuma bagi individu bertuah untuk pulang ke kampung mereka.

Santharuban berkata 300 perjalanan dengan teksi percuma akan ditawarkan di destinasi sekitar Lembah Klang, selain 100 lagi bagi perjalanan ke lokasi lain tempat MyTeksi beroperasi.

“Menerusi promosi ini, pengguna hanya perlu membuat tempahan lebih awal ke destinasi mereka menerusi aplikasi MyTeksi dari 29 Jun hingga 3 Julai untuk balik kampung dari 6 hingga 15 Julai,” katanya.

Sementara itu, Presiden KTMB Sarbini Tijan berkata melalui program seumpama itu, KTM ingin mengetengahkan pengangkutan darat yang lebih selamat dan selesa untuk digunakan terutama pada musim perayaan.

“Dengan menggunakan perkhidmatan kereta api dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dan risiko kemalangan,” katanya.

Seorang anggota tentera yang bertuah mendapat tiket kereta api percuma itu, Ismayazi Ismail, 39, berkata beliau mula beratur sejak pukul 6 pagi ini untuk mendapatkan dua tiket bagi perjalanan ke Padang Besar.

“Alhamdulillah… saya dapat tiket percuma ini. Ia dapat menggalakkan warga kota untuk menaiki kereta api untuk balik ke kampung, ia lebih selamat.

“Sejak dari kecil, saya suka naik kereta api kerana pengalamannya lain daripada naik bas atau pengangkutan lain, terutama pada Hari Raya,” katanya yang akan pulang ke kampung halaman selama dua minggu.

Tukang masak sebuah taska, Ainaa Bahirah Azman, 26, pula teruja apabila mendapat maklumat mengenai tiket percuma itu melalui laman sosial Facebook.

“Saya terus call KTM dan mereka beri website Tropicana untuk maklumat lanjut. Saya rasa happy sangat sebab tak pernah dapat offer macam ni, lagipun dah lama tak balik kampung,” katanya yang akan pulang ke JB bersama adiknya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda