
Oleh Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 29 Jun (Malaysiaaktif) — Drama ‘Pesan Dari Tuhan’ karya Erma Fatima sepatutnya ditayangkan semalam menerusi slot cerekarama di TV3, tetapi pengurusan stesen TV itu membatalkan tayangan atas alasan etika penyiaran.
Susulan tindakan itu, Erma Fatima telah meluahkan rasa kecewa menerusi akaun Instagram miliknya.
“ Jangan sesekali kau tangiskan sahabatku. Perjuangan kita belum selesai. PESAN DARI TUHAN takkan mati di sini….kerana kasih kita pada agama dan bangsa juga bukan di sini titik akhirnya. Aku juga tidak takut berkata benar…. Kerana PESAN DARI TUHAN aku harus bertanggungjawab pada setiap karya aku! Walau kebenaran itu SALAH buat mereka! Alhamdulillah”
Erma Fatima dengan redha hati akur perkara itu dan hanya menganggap TV3 mempunyai alasannya tersendiri.
Beliau menghormati permintaan TV3 atas nama etika penyiaran dan mengambil keputusan untuk tidak menyiarkannya di stesen tersebut. Ini kerana sebagai seorang pengarah atau penerbit, telefilem itu tidak melanggar sebarang garis panduan dan jika ia dipotong maka jalan cerita turut terjejas.
Drama tersebut dibintangi pelakon terkenal seperti Elly Suriati, Remy Ishak, Azhan Rani dan Izreen Azminda dan telah menjalani penggambaran sejak 3 Jun lalu.