Skip to main content
EkonomiViral

Tak Yakin Kemelut 1MDB Berakhir Hujung Tahun – Mahathir

By 15 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

SUBANG JAYA, 15 Jun — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak yakin kemelut membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat diselesaikan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Saya tak yakin (selesai) sebab benda tu hilang… duit tak ada,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Proton, DRB Hicom dan Suzuki di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi jaminan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan perwakilan Umno akan menyelesaikan krisis tersebut paling lewat hujung tahun ini.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak menghalang Najib untuk berusaha menyelesaikan krisis tersebut tetapi pada masa sama akan terus mendedahkan kesalahan yang dilakukan Perdana Menteri.

“Tak apalah, kalau dia nak buat tapi pada masa sama benda yang tak baik kita ceritakanlah,” katanya.

Najib pada Ahad menghadiri Majlis Penerangan Perdana di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) bagi memberi penjelasan kepada lebih 1,500 wakil Penerangan Umno dan NGO mengenai krisis 1MDB.

Jaminan tersebut disampaikan melalui bekas Naib Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh, Hasan Hamzah.

Ditanya sampai bila beliau akan terus memberi tekanan kepada Najib, Dr Mahathir menafikan dirinya menekan Perdana Menteri itu sehingga meletak jawatan.

Sebaliknya Dr Mahathir berkata, beliau hanya menegur kesilapan yang dilakukan Najib.

“Bukan gasak, saya dedahkan benda yang tak kena, benda yang kena saya tak pernah komplen. Saya sokong dia dulu sampai dia menang walaupun kecil sikitlah,” katanya.

Terdahulu Dr Mahathir menyaksikan MoU antara tiga pihak berkenaan untuk kerjasama strategik dalam membangunkan kereta kompak yang akan dilaksanakan secara rasmi pada tahun depan.

— The Star

Tinggalkan komen anda