Skip to main content
HomeViral

Cuaca Panas Dijangka Berakhir Awal September

By 27 Julai 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh  Aimi Huwaina

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Malaysiaaktif) – Dalam kehangatan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia, ramai mengeluh dan resah dengan cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara.

Sentimen sama juga mendapat tempat utama dalam media massa negara jiran, Indonesia, yang antara lain membincangkan tentang peningkatan titik panas di negara tersebut.

 

20150727130102sumatera_hotspot_latest(1)

 

Malaysiaaktif mendapatkan pandangan daripada beberapa orang.

Menurut seorang penjawat awam, Iza kasmiza Kasmijan, 35, cuaca panas dan tidak menentu sekarang bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal, malah turut menyebabkan peningkatan bil penggunaan tenaga.

“Agak terkesan kerana sentiasa berpeluh, jadi perlu mandi selalu untuk keselesaan diri.

“Penggunaan air dan elektrik meningkat kerana orang tidak banyak keluar dan hanya duduk di rumah bagi mengelakkan cuaca panas,” katanya.

Seorang siswazah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Siyah Muhammad, 25, berkata bahang cuaca panas sekarang boleh membahayakan kesihatan.

“Cuaca terlalu panas, tubuh kehilangan banyak air, batuk-batuk dan rasa macam nak demam. Bila badan tak sihat, nak buat kerja pun rasa tak produktif, jadi malas nak buat aktiviti luar…keinginan untuk minum air sejuk pun sangat tinggi dan ini tidak baik.”

 

20150727130102borneo_hotspot_latest

 

Jabatan Meteorologi Malaysia yang dihubungi Malaysiaaktif berkata cuaca panas yang melanda negara sekarang adalah fenomena tahunan dan tidak perlu dibimbangkan kerana suhu yang dicatatkan masih di tahap normal.

Secara umumnya, situasi cuaca pada tahun ini tidak banyak perbezaan berbanding dengan fenomena El-Nino tahun lalu.

Pengarah Pusat Cuaca Nasional, Zahari Abdullah Jabatan itu berkata keadaan mungkin disebabkan oleh tahap El-Nino yang masih berada dalam kategori lemah dan tidak memberi impak signifikan kepada cuaca di Malaysia.

Jabatan berkenaan berkata cuaca panas adalah disebabkan kurangnya pembentukan awan dan hujan kerana kandungan kelembapan yang rendah dalam atmosfera.

 Malaysia sedang menghadapi musim Monsun Barat Daya yang secara rasmi bermula pada 17 Mei 2015 dan dijangka berakhir awal September. Dalam tempoh ini negara dijangka menerima kadar hujan yang lebih sedikit berbanding musim-musim lain, kecuali bagi negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia. Dengan jumlah hujan yang berkurangan, maka cuaca boleh menjadi lebih panas.

Jabatan Meteorologi juga berkata suhu tertinggi di kebanyakan tempat di Malaysia dicatatkan pada penghujung musim Monsun Timur Laut, antara Februari dan April.

Ini berikutan kedudukan matahari yang berada tegak di atas ruang angkasa negara, selain keadaan kurang berawan sepanjang tempoh itu. Suhu tertinggi pada ketika itu mencecah sehingga 38°C, terutama di negeri-negeri utara Semenanjung.

Sementara itu,  suhu tertinggi dicatatkan pada musim Monsun Barat Daya hanya sekitar 34 -36°C, membabitkan beberapa kawasan di Lembah Kelang, Kelantan, Pahang, Sarawak dan Sabah. Sejak bermula musim Monsun Barat Daya Mei lalu, suhu tertinggi dicatatkan, 36.5°C di Kota Kinabalu pada 5 Jun.

 Jabatan tersebut menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan daripada mengalami kepanasan melampau.

Baru-baru ini Bernama melaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) mengeluarkan garis panduan menghadapi cuaca panas bagi tujuan menangani risiko kesihatan.

Garis panduan itu dikeluarkan berikutan ancaman cuaca panas yang berlaku di Eropah sekarang dan juga suhu tinggi yang telah mengorbankan beratus-ratus orang di India dan Pakistan.

 

Tinggalkan komen anda