Skip to main content
HomeViral

Kebakaran di Kg Chubadak Musnahkan 8 Buah Rumah

By 11 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 11 Julai — Sebanyak 10 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas lapan rumah setinggan di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.

Dalam kejadian kebakaran kira-kira 4.30 petang, rumah papan dan batu terbabit gagal diselamatkan berikutan kawasan penempatan setinggan itu tiada pili bomba.

Wartawan Bernama yang membuat liputan itu turut melihat seorang wanita mengandung membawa sepasang sepatu kecil yang masih baharu sambil sekali sekala kelihatan menggilapnya berikutan terdapat kesan hitam akibat kebakaran.

“Ini baharu saya beli semalam, nak bagi anak saya pakai waktu hari raya nanti. Kak beli tiga pasang kasut untuk dia, tapi dapat selamatkan satu ni sahaja, itupun macam dah tak boleh pakai,” kata Haszura Huri ketika ditanya.

Beliau merupakan antara 47 mangsa daripada 10 keluarga terbabit yang tinggal sehelai sepinggang, kurang tiga jam sebelum waktu berbuka puasa, petang tadi.

Beliau yang sarat mengandung enam bulan anak keduanya berkata tiada apa yang mampu diselamatkannya dalam kebakaran berkenaan kecuali sepatu anak lelakinya yang berusia satu tahun enam bulan itu.

“Semua barang raya saya dan suami beli semalam, termasuk karpet yang saya ingat nak buat kejutan untuk ibu mertua semua dah hangus,” katanya yang tinggal di rumah berusia lebih 40 tahun berkenaan bersama suami, anak, dan ibu mertuanya.

Haszura berkata ketika kejadian, beliau baharu pulang ke rumah dan sedang tidurkan anak, sebelum ternampak asap tebal, dan terus melarikan anaknya dan ibu mertuanya ke rumah kakaknya.

“Selepas keluar dari rumah tak sampai lima minit, api dah mulai marak, dan tak sempat nak selamatkan barangan lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata kira-kira 55 anggota Bomba dan Penyelamat dari tujuh balai termasuk bomba sukarela, tujuh jentera bomba dan tiga buah jentera tangki air digerakkan bagi operasi kebakaran berkenaan.

“Kita terima panggilan kira-kira pukul 4.38 minit, dan bergerak sejurus kemudian. Api hanya dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 6.30 petang.

“Di kawasan setinggan ini tiada pili bomba jadi kita terpaksa menggunakan air daripada kawasan perumahan berdekatan, selain tiga buah jentera tangki air,” katanya.

Beliau berkata cuaca kering dan angin kuat selain faktor rumah separuh kayu dan batu menyebabkan api marak dengan cepat.

Beliau berkata kebakaran kemungkinan berpunca daripada litar pintas bahagian dapur salah sebuah rumah yang terlibat sebelum merebak ke rumah-rumah lain.

“Bagaimanapun, ini kita akan lihat dari siasatan pasukan forensik, apa yang penting tiada kemalangan jiwa,” katanya, menambah bahawa kesemua mangsa akan dipindahkan ke Dewan Komuniti Taman Datuk Senu untuk sementara waktu.

— BERNAMA

 

 

Tinggalkan komen anda