Skip to main content
EkonomiHomeViral

Kronologi Penggantungan Dua Penerbitan The Edge

By 27 Julai 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Munzir Madhadzir / Dila Khamde

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Malaysiaaktif) – Berkuat kuasa hari ini dua penerbitan payungan The Edge Communication Sdn Bhd, iaitu akhbar mingguan The Edge Malaysia dan akhbar harian The Edge Financial Daily digantung permit penerbitan selama tiga bulan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Selain portal Sarawak Report, dua akhbar tersebut sebelum ini dianggap kerajaan lantang menyiarkan artikel berkaitan dakwaan salah laku pengurusan kewangan di dalam syarikat pelaburan strategik milik penuh negara, 1MDB.

Kronologi penggantungan dua penerbitan tersebut adalah seperti berikut:

18 Mei – The Edge Malaysia menyiarkan artikel “The Questionable transactions that must be explained by 1MDB’s board of directors” ( Transaksi yang perlu diperjelaskan oleh Lembaga Pengarah 1MDB.).

8 Jun – The Edge Malaysia menyiarkan artikel “How Jho Low used US$260 million of 1MDB’s cash to buy UBG in 2010 (Bagaimana Jho Low guna wang AS$260 juta kepunyaan 1MDB untuk Beli UBG pada 2010.)

23 Jun – Negara digemparkan dengan berita penahanan bekas Eksekutif IT PetroSaudi, Justo Xavier oleh polis Thailand atas dakwaan memeras ugut bekas majikannya. Justo dikatakan memberikan maklumat palsu berkaitan 1MDB kepada media Malaysia.

29 Jun – Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri menghantar surat kepada Ketua Pengarang The Edge menyatakan akhbar itu telah menyiarkan artikel yang menyalahi peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Dengan itu pihak The Edge diarah untuk memberikan surat tunjuk sebab dalam masa 7 hari untuk mengelak dikenakan tindakan oleh pihak KDN.

2 Julai – Pihak The Edge meminta KDN melanjutkan tempoh surat tunjuk sebab selama 7 tujuh hari lagi untuk memberikan sebab yang lebih terperinci. The Edge menyatakan pendirian mereka bahawa tiada salah laku yang telah dilakukan dan laporan mereka berdasarkan sumber yang dianggap sahih.

Hari yang sama Wall Street Journal menyiarkan artikel “Investigators Believe Money Flowed to Malaysian Leader Najib’s Accounts Amid 1MDB Probe (Penyiasat Percaya Wang Disalurkan kepada Najib.)

20 Julai – The Edge Financial Daily menyiarkan artikel bertajuk “How Jho Low & PetroSaudi schemed to steal money from the people of Malaysia via 1MDB” ( Bagaimana Jho Low dan PetroSaudi bersekongkol mencuri wang rakyat Malaysia melalui 1MDB).

21 Julai – Portal The Star Online mengesahkan KDN telah menerima surat tunjuk sebab daripada The Edge.

24 Julai – KDN menggantung permit The Edge Malaysia dan The Edge Financial Daily selama 3 bulan bermula daripada 27 Julai, dengan amaran permit penerbitan akan dibatalkan sekiranya gagal mematuhi perintah penggantungan tersebut. KDN memberikan alasan artikel-artikel tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam, menimbulkan keresahan umum atau memudaratkan kepentingan awam dan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi menyatakan The Edge digantung kerana mempunyai motif-motif tertentu.

Pada hari yang sama akhbar Straits Times Singapura menyiarkan hasil temu ramah wartawan akhbar tersebut dengan Justo di penjara Thailand. Justo mendakwa dijanjikan US$2 Juta untuk data yang diambil daripada PetroSaudi. Justo juga mendakwa pihak tersebut ingin mengubah dokumen tersebut dan menjatuhkan Perdana Menteri.

Pengerusi The Edge Media Group, Tong Kooi Ong mengesahkan dakwaan Justo tersebut tetapi memberitahu beliau tidak pernah membayar apa-apa jumlah kepada Justo. Tawaran itu hanyalah helah untuk mendapatkan data tersebut. Bagaimanapun Tong menafikan dakwaan Justo yang lain.

Pada 25 Julai, KDN memberikan tiga sebab kenapa The Edge digantung:

  1. Pertama, tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang seterusnya berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.
  1. Kedua, laporan yang diterbitkan turut bersumberkan maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan boleh/mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara.
  1. Ketiga, isu berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang ditubuhkan. Oleh itu, adalah tidak wajar pemberitaan yang boleh menimbulkan persepsi negatif yang dilakukan secara berterusan dan ia adalah tidak adil kepada syarikat 1MDB seterusnya kepada kerajaan dan kepada kepimpinan negara.

Dalam perkembangan lain, The Edge berhasrat membatalkan arahan penggantungan tersebut di mahkamah. Malaysiaaktif mendapati portal The Edge, theedgemarkets.com masih beroperasi seperti biasa.

 

Tinggalkan komen anda