Skip to main content
EkonomiHomeViral

SKMM Larang Portal Siar Semula Bahan The Sarawak Report

By 24 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 24 Julai  — Pengarang portal berita dalam talian diingat agar tidak memaparkan semula bahan daripada The Sarawak Report yang telah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM dalam kenyataan di sini berkata tindakan menyebarkan semula laporan yang dibuat portal yang telah disekat itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagi memastikan perkara itu difahami, SKMM telah mengadakan perjumpaan dengan pengarang-pengarang portal berita semalam dan telah mengingatkan mereka bahawa tindakan boleh diambil terhadap sebarang pemberitaan yang palsu atau tidak tepat.

Selain itu, tindakan juga boleh diambil terhadap penyebaran maklumat palsu yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian sesebuah negara, terutamanya dari segi ekonomi dan keselamatan nasional, menurut kenyataan itu.

“Justeru, SKMM bertegas akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melaporkan sesuatu laporan yang palsu atau tidak tepat, ataupun menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya,” menurut kenyataan itu.

SKMM turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan portal berita yang telah menggunakan tajuk utama dan artikel yang menyimpang daripada konteks sebenar berhubung kenyataan yang dibuat Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin pada pertemuan itu semalam.

“Kenyataan (Zulkarnain) yang disiarkan dalam beberapa portal berita dalam talian, perlu dilihat dari konteks bahawa ia adalah siasatan berterusan yang dijalankan oleh polis dan Pasukan Petugas Khas dan bukannya pengesahan bahawa tidak ada bukti laporan The Sarawak Report adalah palsu.

“Dalam hal ini, tajuk-tajuk utama dan artikel oleh beberapa portal berita dalam talian berhubung isu ini adalah kurang tepat,” menurut SKMM.

Antara pengarang dan wakil portal berita yang hadir terdiri daripada The Malaysian Insider, Malaysiakini, Digital News Asia, Astroawani.com, NST Online, Sinar Online, The Rakyat Post, Utusan Online, The Malaysian Reserve Online dan The Star Online.

Menurut SKMM, mereka telah dimaklumkan bahawa The Sarawak Report telah disekat oleh SKMM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 setelah menerima aduan dan maklumat daripada orang awam.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda