
Oleh : Pradeeb Kumar Velayutham
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2015 (MalaysiaAktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap 10 suspek yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Islamic State (ISIS) dalam satu operasi serentak di Perlis, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
Kesemua suspek terdiri daripada lapan orang lelaki dan dua orang wanita merupakan rakyat Malaysia yang berumur antara 24 hingga 42 tahun.
Kesemua suspek disyaki terlibat dalam aktiviti mempromosi Ideologi Kumpulan Pengganas Islamic State (ISIS) dan mengumpul dana membantu aktiviti kumpulan tersebut di Syria.
Kesemua suspek juga dipercayai sedang mengumpul dana membeli senjata untuk menyerang sasaran di Malaysia dan mencari ahli baru menyertai kumpulan mereka.
Mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut Akta Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (Akta 747).